PRN Sarawak : DAP Rampas 10 Kerusi Milik PKR

AIDCNews – 16/4/16 – Dengan pengumuman rasmi bahawa DAP Sarawak bakal bertanding 29 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini bermaksud parti itu telah merampas 10 kerusi yang sebelum ini pernah ditandingi PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.

10 kerusi PKR yang dirampas DAP adalah; N2 Tasik Biru; N19 Mambong (nama lama Bengoh); N22 Kedup; N47 Pakan; N49 Ngemah; N61 Pelagus; N62 Katibas; N64 Baleh; N69 Kemena dan N75 Senadin.

Kerusi-kerusi yang dirampas daripada PKR ini bukan merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, sebaliknya majoriti pengundi Dayak yang mewakili pelbagai kaum termasuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

DAP juga minat bertanding di lima daripada 11 DUN baharu hasil daripada persempadanan semula iaitu; N17 Stakan; N23 Bukit Semuja; N66 Murum; N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Selain itu, DAP enggan berkompromi dan tidak mahu melepaskan kepada PKR 12 DUN kawasan majoriti Cina yang dimenangi parti itu pada PRN 2011.

12 DUN yang pernah dimenangi DAP dan bakal ditandingi semula adalah; N9 Padungan; N10 Pending; N12 Kota Sentosa; N46 Meradong; N51 Bukit Assek; N68 Tanjong Batu (nama lama Kidurong); N14 Batu Kawah; N45 Repok; N52 Dudong; N54 Pelawan; N73 Piasau dan N74 Pujut.

DAP juga berminat bertanding semula di 2 kerusi DUN yang parti itu tewas pada PRN 2011 iaitu N32 Simanggang dan N53 Bawang Assan.

Walau bagaimanapun, DAP tidak berminat untuk mempertahankan satu lagi DUN yang parti itu tewas pada PRN lalu iaitu N79 Bukit Kota.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata keputusan DAP bertanding di 29 kerusi telah dicapai selepas rundingan dengan pimpinan pusat Pakatan Harapan.

Menurutnya, DAP Sarawak mahu bertanding di antara 30 dan 35 kerusi DUN tetapi selepas rundingan diadakan, ia menerima keputusan pucuk pimpinan yang bersetuju dengan 29 kerusi sahaja.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata keputusan DAP bertanding 29 kerusi dicapai selepas pembincangan dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

“Setahu saya, berkaitan dengan pembahagian kerusi, DAP dan PKR di peringkat pusat sudah bersetuju,” kata Guan Eng dilapor The Star Online.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam perbincangannya dengan Azmin pada Khamis lalu.

“Persetujuan ini dicapai di antara seorang menteri besar dan seorang ketua menteri dan kami berdua bersetuju dengan pembahagian kerusi itu.

“Kami merasakan perkara ini tidak seharusnya dipertikaikan. Tetapi dalam politik perkara begini akan wujud dalam setiap parti dan ia adalah perkara biasa,” tambahnya.

Semalam BERNAMA melaporkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, sebagai berkata parti itu dimaklumkan bahawa keputusan mengenai peruntukan kerusi di peringkat kebangsaan di kalangan parti Pakatan Harapan adalah tidak sejajar dengan yang diputuskan di peringkat negeri.

Oleh itu katanya, mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR membuat keputusan menarik balik mandat yang diberi kepada pemimpin PKR peringkat kebangsaan untuk berunding dengan parti lain dalam Pakatan Harapan di Kuala Lumpur berhubung perkara itu.

“Kami akan buat keputusan muktamad mengenai kerusi yang kami tandingi berdasarkan hasil KPI kami. Keputusan kami akan dibuat semata-mata berdasarkan kemampuan calon kami untuk menang dan bukan kerana sebab lain,” katanya semalam.

“Adalah dikesali kerana ada pihak tertentu melihatnya sebagai wajar untuk merosakkan potensi gabungan pembangkang untuk menambah kerusi kami pada pilihan raya akan datang berdasarkan tingkah laku mereka sejak beberapa bulan leps iaitu ketika rundingan sedang diadakan,” katanya.

Guan Eng berkata, perbezaan pendirian di antara peringkat pusat dan negeri dalam PKR itu adalah masalah dalaman parti.

“Setahu saya, kami sudah mencapai persetujuan di peringkat pusat mengenai pembahagian kerusi,” tambahnya.

Sebelum ini DAP Sarawak pernah membuat ancaman bahawa akan berlaku pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan jika PKR mengambil keputusan untuk mengabaikan persetujuan mengenai pembahagian kerusi itu

“Jika PKR tidak memegang janji, akan berlaku pertandingan tiga penjuru,” katanya.

3 thoughts on “PRN Sarawak : DAP Rampas 10 Kerusi Milik PKR

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s