Hanya Yang di-Pertuan Agong Berkuasa Beri Pengampunan Kepada Anwar – Peguam

KUALA LUMPUR- Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kepada bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah bagi pertuduhan meliwat.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dalam hujahannya berkata menurut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar dan disemak oleh mana-mana mahkamah.

Artikel 42 menyatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Suzana memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas berhujah dalam bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Anwar dan anggota keluarganya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunannya atas sabitan meliwat.

Kes itu didengar di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin hari ini. Suzana mewakili Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Peguam N. Surendran pula berkata pihaknya berhujah bahawa persoalan sama ada keputusan Lembaga Pengampunan, yang tidak memberikan pengampunan kepada Anwar boleh disemak atau sebaliknya, sepatutnya dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya mahkamah menetapkan 17 Mei untuk keputusan bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Dalam prosiding hari ini, Anwar mewakili dirinya sendiri manakala Surendran dan peguam Latheefa Koya bertindak bagi pihak isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Pada 24 Jun 2015, Anwar dan anggota keluarganya memohon perintah untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015, dan mendesak lembaga itu agar menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 68.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 -BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s