PRN Sarawak : Badak Sumbu Mengamuk Rempuh Burung Ubah

maskot2PERTEMBUNGAN sesama sendiri antara komponen pakatan pembangkang membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sememangnya sudah diduga.

Namun perebutan sehingga enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara dua parti politik yang berpusat di Semenanjung itu dilihat agak luar biasa terutamanya di kalangan pengundi.

Bagi orang politik khususnya di pihak pembangkang sendiri, pertindihan kerusi yang ditandingi PKR dan DAP di Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong adalah serius dan mungkin sukar dimaafkan.

Tapi lain pula penerimaannya di kalangan pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 7 Mei depan.

Sebilangan daripada mereka melihat perkembangan berkenaan sebagai ‘jenaka politik’ yang pastinya akan memeriahkan lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang ke-11 kali ini.

“Ini baru betul-betul badak. Badak sumbu kalau sudah mengamuk, semua benda dirempuhnya.

“Apatah lagi burung ‘Ubah’,” kata seorang penduduk tempatan kepada rakan-rakannya merujuk kepada badak sumbu bewarna biru yang menjadi maskot PKR.

Sementara burung ‘Ubah’ yang dimaksudkan ialah burung enggang yang mewakili wajah DAP sejak pilihan raya 2011 yang lalu.

Perbualan sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40an di kedai kopi Kampung Boyan di Kuching itu jelas kedengaran berkisar mengenai perbalahan yang berlaku antara PKR dan DAP.

Bagi penganalisis politik, Prof Madya Andrew Aeria dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pembangkang yang membawa nama Pakatan Harapan telah mencalarkan imej mereka sendiri di kalangan pengundi di Sawarak.

Katanya, tindakan dua parti politik tersebut ternyata mengecewakan pengundi yang berkemungkinan menaruh harapan kepada mereka sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

“Perkembangan ini malang bagi rakyat Sarawak. Pemimpin pembangkang nampaknya sentiasa gagal dalam menyelesaikan isu membabitkan kerjasama politik.

“Pemimpin mereka gagal untuk berkompromi antara satu sama lain, tak mahu mengalah demi sebuah kerjasama politik,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Aeria, sikap ego dan dendam pemimpin pembangkang juga menjadi punca kepada berlakunya pertembungan sesama sendiri.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik dari Unimas, Prof Madya Dr Ahi Sarok turut melahirkan pandangan senada berhubung pertembungan antara PKR dan DAP di enam kerusi.

Jelas beliau, sikap pimpinan PKR yang gagal mengotakan janji bersama DAP bakal merugikan pakatan pembangkang secara keseluruhannya.

“Sikap enggan bertolak ansur yang ditunjukkan PKR amat memalukan. Mereka gagal memahami sentimen dan kehendak rakyat.

“Sebaliknya mereka hanya pentingkan kuasa politik,” katanya.

Selain itu kecuaian PKR juga akhirnya menyumbang kepada dua kemenangan awal BN apabila calon mereka, Alex Lihan di DUN Bukit Sari tidak muncul pada hari penamaan calon tanpa sebarang alasan.

Manakala di DUN Bukit Kota, tiada mana-mana wakil pembangkang tampil menyerahkan borang pencalonan.

Dengan perkembangan itu calon BN, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Dr Abdul Rahman Ismail akhirnya mengekalkan kedua-dua kerusi yang disandang sebelum ini.

PKR sekali lagi melakukan kesilapan apabila membiarkan calon BN, Dr Abdul Rahman Junaidi bersaing satu lawan satu dengan PAS yang diwakili Zainal Abidin yet.

Ia berikutan pencalonan wakil PKR, Morni Samsudin di DUN Pantai Damai terbatal disebabkan beliau muflis kerana menjadi penjamin pinjaman – Mstar

One thought on “PRN Sarawak : Badak Sumbu Mengamuk Rempuh Burung Ubah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s