Mahfuz Gesa PAS Sambut Pelawaan Azmin Kembali Ke Pangkuan Pakatan Harapan

AIDCNews – 09/5/16 – PAS perlu merendahkan ego dan menerima saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar kembali semula ke pangkuan Pakatan Harapan untuk meraih semula sokongan rakyat, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Parti-parti pembangkang perlu kembali ke meja perbincangan melalui satu pakatan yang boleh memberi harapan baru untuk meyakinkan rakyat bagi perubahan masa depan Malaysia dengan merendahkan ego masing masing dan melihat ke hadapan bahawa rakyat mahukan perubahan bermula dengan penyatuan dan kesepakatan parti pembangkang yang meyakinkan.

“Saya sangat mengharapkan pimpinan PAS akan menyambut baik pelawaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali demi Malaysia dan rakyat untuk bersama dalam satu pakatan pembangkang PAS, PKR, DAP dan Amanah serta parti parti lain dan NGO,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan ini dibuat selepas Azmin, pada Ahad, mengajak PAS untuk kembali bersama DAP, PKR dan PAN sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Azmin berkata PKR, DAP, PAS dan PAN perlu menerima hakikat bahawa kegagalan pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei lalu menunjukkan rakyat dengan lantang dan jelas menolak pertelingkahan sesama rakan sekutu politik.

Mahfuz berkata, untuk mencapai kesepakatan pembangkang itu, semua parti termasuk PAS perlu menjauhi pemikiran sempit kepartian.

“Rakyat mengimpikan pakatan pembangkang yang benar-benar meyakinkan mereka sebagai kerajaan menunggu.

“Sewajarnyalah pemimpin parti politik pembangkang berfikiran Malaysia dan menjauhi pemikiran sempit yang boleh dilihat oleh rakyat sebagai parti politik yang hanya memikirkan kepentingan parti sendiri sahaja,” katanya.

Mengulas isu sama Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata PAS neger menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan berkaitan saranan Azmin itu.

“Media telah meminta komen saya tentang pelawaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar PAS kembali bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Komen saya adalah perkara seperti ini hanya boleh diputuskan oleh PAS Pusat. PAS Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan pandangan jauh PAS Pusat yang akan mengambil kira situasi di negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun bagi PAS Selangor katanya, kerjasama antara ketiga-tiga parti berkenaan masih berjalan seperti biasa dalam kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir berkata cadangan Azmin itu tidak mungkin akan diterima PAS kerana ia turut melibatkan kerjasama dengan DAP.

Apatah lagi ujarnya sebelum ini, PAS pernah melabel PAN sebagai pengkhianat.

“Kesediaan PAS itu satu hal lagi. Apakah PAS bersedia? Kalau di masa yang lalu mereka mengadakan beberapa usul di Muktamar untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.

“Apabila berlaku begitu, kita tubuhkan PH pun mereka tidak mahu bersama dan berulang kali mereka tidak mahu bekerjasama dengan DAP yang mereka anggap anti Islam, anti Melayu yang akan mengkhianati perjuangan Islam dan PAN mereka anggap parti pengkhianat yang tidak ada langsung tolak ansur.

“Jadi dengan sikap mereka yang begitu tentulah sukar, walau bagaimanapun PAN dasar prinsip kita kalau hendak buat apa-apa kita mesti persetujuan bersama ketiga-tiga parti dalam PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Anuar lagi, Azmin tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, memandangkan terdapat dua lagi parti lain dan perkara itu harus turut dipersetujui oleh DAP dan PAN sendiri.

“Saya setuju memang perlu ada muhasabah dan tentu kita kena buat satu ‘post-mortem’ tentang keputusan PRN Sarawak yang sangat tragis. Mengajak semua pihak untuk bersama itu satu pandangan yang baik.

“(Namun) Tentang mengajak PAS kembali bersama dalam Pakatan Harapan misalnya adalah satu perkara yang kita boleh setuju tapi mesti diputuskan bersama oleh ketiga-tiga parti iaitu DAP, PKR dan PAN, mesti ada persetujuan diantara ketiga-tiganya sekiranya mahu menerima PAS kembali ke pangkuan kita menjadikan kita 4 parti dalam PH,” jelasnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, penerimaan PAS ke pangkuan PH hanya bergantung kepada persetujuan ketiga-tiga parti dalam gabungan pembangkang itu.

“Kalau PKR dan DAP sedia untuk menerima PAS, bagi PAN kita tidak mahu menjadi faktor penolak yang tidak boleh bersama dan muafakat, jadi keputusannya terletak kepada ketiga-tiga dalam PH,” katanya.

Advertisements

One thought on “Mahfuz Gesa PAS Sambut Pelawaan Azmin Kembali Ke Pangkuan Pakatan Harapan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s