PRK Parlimen Sungai Besar & Kuala Kangsar : Penamaan Calon 5 Jun, Pengundian 18 Jun

PUTRAJAYA – Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Mohd Hashim berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Parlimen Sungai Besar pula mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

“Daftar pemilih pilihan raya bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 2 Jun, manakala anggaran belanjawan yang diperlukan bagi mengendalikan kedua-dua PRK ini adalah sebanyak RM2.7 juta,” katanya dalam sidang media mengenai kedua-dua PRK itu di sini Jumaat.

Kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.

Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad Khair-il merupakan antara enam mangsa kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dekat Sebuyau pada 5 Mei lepas iaitu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter Kapt Rudolf Rex Ragas.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah pilihan raya kecil ke-11 selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Sepuluh PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); PRK Parlimen Rompin, Pahang (5 Mei 2015); dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (7 Mei 2015).

Mohd Hashim berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju untuk melantik Pegawai Daerah Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria sebagai pegawai pengurus PRK Kuala Kangsar serta tiga penolong pegawai pengurus.

Selain itu, katanya dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen di bahagian itu selain 594 orang petugas pilihan raya.

Beliau berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Kuala Kangsar akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.

Bagi PRK Sungai Besar pula, beliau berkata pegawai pengurus pilihan raya yang dipilih ialah Pegawai Daerah Sabak Bernam Mohd Khairuddin Md Som yang akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus.

Menurutnya dua PP-KPR turut ditubuhkan bagi PRK itu selain melantik 928 petugas pilihan raya dengan Dewan Seri Bernam, Sungai Besar dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Ditanya mengenai kedua-dua PRK yang akan dijalankan pada bulan Ramadan, Mohd Hashim berkata ini bukanlah kali pertama pilihan raya diadakan ketika umat Islam berpuasa.

“Sudah beberapa kali dalam sejarah PRK diadakan pada bulan puasa dan yang terbaharu di Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013). Bulan puasa adalah bulan untuk memperbanyakkan amalan, jadi harap kurang sedikit keji mengeji kata mengata.

“SPR mengharapkan kempen ini akan menjadi kempen yang bersih dan sederhana seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini,” katanya – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s