Azmin Ali Gagal Jadi Tekong Pakatan Pembangkang

Lokman Ramlee – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yakin jika objektif parti-parti pembangkang ialah mahu menewaskan Barisan Nasional (BN) dan menurunkan perdana menteri, mereka pasti mampu mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun bagi PAS yang juga parti pembangkang, sudah tiada lagi rundingan yang akan diadakan dengan PKR, DAP dan PAN berhubung isu parti mana yang dipersetujui meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

PAS tegas dengan pendirian bahawa kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kerusi tradisi yang ditandinginya dan tidak akan melepaskan peluang untuk meletakkan calonnya dalam PRK berkenaan.

Bagi PAS, di kalangan parti-parti pembangkang seharusnya PKR-lah yang paling wajar memahami pendiriannya itu kerana PKR adalah rakan politik yang masih menjalin tahaluf siyasi dengannya.

Sewajarnya PKR sensitif bahawa PAS bukan kerabat Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan Pakatan Rakyat. Justeru sebagai rakan tahaluf, adalah kurang sopan bagi PKR mencadangkan PAS tidak bertanding di PRK berkenaan.

Tidak terfikirkah Azmin bahawa PAS buat masa ini bergerak bersendirian untuk mencapai apa yang dikatakannya ‘objektif yang sama’ untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Lantas mengapa Azmin sendiri tidak mengesyorkan kepada DAP dan PAN supaya memberi laluan kepada PAS bertanding di kedua-dua PRK berkenaan. Lebih molek lagi jika Azmin menggalakkan DAP dan PAN membantu PAS.

Dengan cara itu, mungkin barulah pelawaan awalnya kepada PAS supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan demi memperkukuhkan barisan pembangkang ada merit dan ikhlas.

Mungkin akan terbuka hati pimpinan PAS bahawa dalam mencapai objektif ‘mengajar’ BN, pembangkang mesti bersatu hati dan bekerjasama.

DAP awal-awal lagi mengisytiharkan ia tidak berminat meletakkan calon dalam PRK terbabit kerana ia adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.

PAN pula yang baru masuk gelanggang politik tanah air beria-ia mahu ‘menguji sokongan’ bahawa ia adalah pengganti PAS dalam kedudukannya sebagai sebuah parti politik Islam.

Apakah Azmin tidak nampak realiti ini atau pelawaannya adalah sekadar mahu membuat kenyataan politik setelah gagal menangani isu pertembungan calon-calon PKR dengan calon DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak?

Azmin cuba serlah kemampuan

Nampaknya Azmin mahu menyerlahkan kemampuannya sebagai seorang politikus pemikir yang sudah sampai tahap seorang negarawan. Kononnya demi kepentingan rakyat, beliau sanggup ‘memujuk’ PAS untuk bersama mengukuhkan kedudukan pembangkang.

Sebaliknya, yang mungkin menghampakan PAS ialah, dalam usaha untuk memprojekkan imej kenegarawanannya, Azmin peliknya mengingatkan PAS supaya akur akan senario politik yang berbeza perlu diambil kira oleh PAS dalam isu menentukan calon dalam PRK berkenaan.

Soalnya, apa yang berbeza? Adakah sekarang sudah ada sebuah lagi parti yang mengaku pembangkang – PAN – maka PAS tiba-tiba tidak layak bertanding merebut kerusi yang secara tradisinya pernah ditandinginya?

Jika demikian, apa maknanya bertahaluf siyasi dengan PAS jika perkara-perkara pokok yang menjadi keutamaan pada PAS di segi perkiraan politiknya hendak dinafikan kepada Haji Hadi dan anak-anak buahnya?

Nampaknya Azmin mengambil posisi yang salah dalam percubaannya untuk menjadi jambatan Pakatan Harapan dalam hubungannya dengan PAS.

Tambahan pula, Azmin kelihatan gopoh apabila berasa agak tersergap dalam isu ini. Apabila Haji Hadi menafikan ada rundingan diadakan di antara Azmin dengan beberapa pemimpin kanan PAS, Azmin naik berang.

Beliau menuduh Haji Hadi tidak tahu apa yang berlaku dalam partinya sendiri. Kilas Azmin itu hendak mematikan langkah Hadi dalam isu PRK ini dengan mendedahkan beliau sudah berunding dengan Timbalan Presiden PAS, Pengarah Pilihan Raya parti itu serta setiausaha politik Hadi sendiri.

Di sini, jelas Azmin kurang mengambil berat soal adab dan protokol dalam PAS. Ketiga-tiga pemimpin PAS berkenaan dirundinginya sebelum PAS sendiri menetapkan pendirian mereka dalam isu berkenaan.

Sudah tentu Hadi sebagai presiden PAS tidak akan memberi mandat kepada Azmin dan ketiga-tiga pemimpin PAS untuk membuat keputusan bagi PAS sebelum beliau sebagai Presiden memanggil mesyuarat PAS terlebih dahulu.

“Saya tidak akan putus asa dan akan terus berusaha berbincang dengan semua wakil parti pembangkang sama ada PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP dalam isu calon untuk menguatkan jentera sebagai persediaan menentang BN.

“Jika kita berpegang kepada objektif yang sama (iaitu) mahu menewaskan BN dan menurunkan perdana menteri, kita pasti mampu capai kata sepakat,” katanya.

Diplomasi politik Azmin masih ‘jauh’

Jelas tingkah Azmin didorong perkiraan politik. Beliau cuba lunak pada PAS untuk membuktikan kepimpinan dan keprihatinannya akan perjuangan parti itu.

Pada masa sama beliau juga mahu mempamerkan sikap tegas kepada DAP dan PAN bagi menyerlahkan kepimpinannya mampu ‘memimpin PAS’ akur pada perjuangan pembangkang.

Malah beliau dilaporkan ‘menggertak’ tiga Exco PAS dalam kerajaan Selangor supaya meletak jawatan jika PAS berdegil mahu meletakkan calon di PRK Sungai Besar.

Meskipun beliau menafikan laporan berkenaan, namun PAS berpegang pada maklumat bahawa memang benar ada membuat gertakan itu.

Di samping itu, dalam keadaan yang agak genting ini, Azmin juga perlu ada keberanian menegur kerabatnya PAN yang secara semberono menuduh PAS lebih selesa bekerja dengan Umno.

“Memang dari awal kita nampak PAS sudah ambil sikap bersendirian, malah sekarang mereka lebih mesra dengan Umno,” kata Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir.

PAS tidak memerlukan pembelaan Azmin untuk menangani ‘usikan’ PAN. Bagaimanapun jika Azmin mahu menjadi ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan, beliau tidak seharusnya membiarkan rakan tahaluf siyasinya ‘diejek’ begitu rupa.

Nampaknya, di segi diplomasi politik, Azmin masih jauh dari status boleh menjadi penyatu dalam Pakatan Harapan mahupun entiti pembangkang lain.

Sukar dibayangkan Azmin mampu mengisi tempat Anwar Ibrahim yang berhasil menggembleng perpaduan pembangkang dalam dua pilihanraya umum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s