Malaysia Gazette – “Saya maafkan dia (Nizar) dan doakan dia,”
Itu reaksi calon Barisan Nasional (BN) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid ditanya mengenai dakwaan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang mempolitikkan kejadian kemalangan helikopter melibatkan arwah suaminya, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar baru-baru ini.
Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, Mastura mengakui terasa dan sedih mendengar dakwaan Nizar namun percaya Allah akan menunjukkan kebenarannya.
Mastura juga menafikan dakwaan Nizar menuduhnya sebagai calon paksa dan mengakui secara sukarela meneruskan perjuangan arwah suami untuk penduduk Kuala Kangsar.
“Saya ada dengar mengenai isu calon paksa ini. Saya bukan calon paksa..saya tidak pernah dipaksa. Saya buat atas kerelaan saya sendiri kerana rasa saya harus meneruskan perjuangan membantu orang kuale,” ujarnya tenang pada sidang media di kediamannya hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Penyokong BN yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.
Selain itu, Mastura yakin sekiranya kesemua jentera BN bergerak seperti memenangkan arwah suaminya semasa pilihan raya umum lalu, kemenangan akan dicapai dalam PRK Kuala Kangsar.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kuala Kangsar kerana ‘menerima’ kehadiran empat anak-anak lelaki yang mewakilinya berkempen.
Mastura juga mengumumkan lima agenda perjuangannya sekiranya terpilih sebagai ahli parlimen iaitu menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah sebagai universiti awam, menyegerakan kelulusan projek Jambatan Manong dan memohon kelulusan membesarkan Jalan Manong-Kuala Kangsar.
Selain itu, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.
Hampir kesemua agenda perjuangannya itu merupakan kesinambungan kepada perjuangan arwah suaminya yang masih belum kesampaian.