Zenith Buat U-Turn Nafi Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang Ditangguh

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, Pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd

AIDCNews – 16/6/16 – Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, kontraktor projek terowong dasar laut Pulau Pinang hari ini menafikan bahawa kajian kebolehlaksanaan projek itu ditangguh.

Penafian itu dibuat 24 jam selepas kenyataan Pengerusinya Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada sidang akhbar di Kuala Lumpur bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan penangguhan kajian kebolehlaksanaan projek itu bulan lepas.

Pada sidang akhbar, Zarul Ahmad mengakui berlaku kesilapan dalam kenyataannya pada Selasa dan berkata kajian itu masih berjalan seperti biasa.

“Mungkin disebabkan bulan puasa…Saya perlu membetulkan kenyataan saya semalam (Selasa) kerana kajian kebolehlaksanaan masih diteruskan dan terowong dasar laut itu dijadual siap pada 2027,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Rabu.

Beliau berkata kajian kebolehlaksanaan terowong itu akan disiapkan dalam tempoh enam bulan lagi tanpa sebarang penangguhan tetapi tumpuan kini adalah untuk menyiapkan tiga pakej lebuh raya iaitu Jalan Pesisir Pantai Utara (menghubungkan Tanjong Bungah dan Teluk Bahang), Lebuh Raya Pintasan Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan Lebuh Raya Pintasan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu.

“Projek itu telah berjalan mengikut jadual dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada tahun 2022,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut menafikan sebarang penangguhan atau pembatalan berkaitan projek terowong dasar laut.

Guan Eng, berkata perkara itu hanya salah faham dan salah lapor oleh pemberita. “Tiada penangguhan projek terowong dasar laut, sebaliknya kita memberi perhatian kepada pembinaan tiga lebuh raya utama.

“Saya difahamkan pihak Zenith akan terus menyiapkan kajian kebolehlaksanaan yang hanya tinggal 17 peratus untuk disiapkan,” katanya pada sidang media di KOMTAR, tengah hari semalam yang turut dihadiri Zarul Ahmad.

Guan Eng berkata demikian mengulas kenyataan Zarul Ahmad sebelum ini yang mendakwa kerajaan negeri memberi arahan penangguhan kajian projek terowong dasar laut melalui surat yang diserahkan bulan lalu.

Walau bagaimanapun kenyataan Zarul Ahmad dan Guan Eng itu bercanggah dengan maklum balas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng yang ketika dihubungi mengakui bahawa kerajaan negeri telah memberitahu pihak kontraktor bahawa kerja-kerja kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu perlu ditangguhkan.

Hock Seng yang kini berada di luar negara berkata penangguhan itu berikutan permohonan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga.

“Ya, kami telah memberitahu mereka untuk menangguhkan kajian kebolehlaksanaan itu sehingga kami mendapat jawapan kerajaan pusat berhubung permohonan jambatan ketiga,” katanya.

Hock Seng sebelum ini pernah mengumumkan bahawa kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut yang dilakukan oleh pihak kontraktor telah 83 peratus siap.

Zarul Ahmad pada sidang akhbarnya pada Selasa dilapor berkata kerajaan negeri Pulau Pinang mahu kajian yang menelan kos RM100 juta itu yang sudah 83 peratus siap, ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, tanpa memberikan sebarang alasan.

“Kami menerima arahan untuk menghentikan kajian daya maju itu bulan lepas. Tiada alasan diberikan, mereka hanya mahu kami menumpukan kepada membina cadangan tiga jalan raya utama di negeri itu secepat mungkin,” katanya.

Terowong bawah laut itu yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, merupakan sebahagian daripada projek Jalan Raya dan Terowong Utama Pulau Pinang (PMRT) yang bernilai RM6.3 bilion, satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

Projek itu juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pindahan teknologi dan kemahiran teknikal daripada syarikat pembinaan bereputasi dan meningkatkan standard hidup penduduk di koridor utara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s