Padah Jadikan PRK Referendum Untuk BN/Najib – PSM

Dalam membuat satu analisis, kita harus membezakan isu-isu yang kabur dengan isu-isu yang nyata dan ketara. Maka saya ingin menyenaraikan beberapa isu yang nyata dan fakta. Isu-isu ini diterima oleh hampir semua penganalisis politik daripada kedua-dua belah. Ia juga sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada apa yang boleh dijangkakan dalam Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang.

1. BN menang dua kerusi Pilihanraya Kecil (PRK) dengan majoriti yang lebih tinggi di Kuala Kangsar (6,969 undi) dan Sungai Besar (9,191 undi). Peningkatan peratusan undi untuk BN boleh dikatakan sekitar 4 titik peratusan. Ia adalah kemenangan selesa bagi BN walaupun jumlah undi berbanding dengan PRU lepas tidak jauh berbeza.

2. Kemenangan BN tidak mengejutkan kita memandangkan pembangkang sudah berpecah antara PAS dan Pakatan Harapan (PH). Pertandingan tiga penjuru dengan jelas menunjukkan undi pembangkang sudah berpecah dua dengan kutipan undi lebih kurang sama antara Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS. Kombinasi undi PAS dan AMANAH juga masih tidak dapat menewaskan BN. Ramai melihat pertandingan kali ini sebagai pertandingan merebut tempat kedua atau “pingat perak”.

3. Jumlah pengundi yang turun mengundi, iaitu sekitar 72%, adalah lebih rendah berbanding PRU-13. Ini memberi gambaran bahawa mereka yang duduk jauh tidak turun mengundi kerana mungkin sudah bosan dengan politik. Ini juga memberi petunjuk bahawa jika PRU yang akan datang berterusan dengan mood yang sedia ada, maka jumlah yang turun mengundi akan berkurang dan ini membawa isyarat bahawa BN akan menang sekali lagi.

4. Seperti yang dijangka, AMANAH gagal mendapat undi Melayu manakala PAS gagal mendapat undi Cina. Ini menunjukkan bahawa pengundian mengikut perkauman masih ketara dan politik negara terus terjerumus dalam polarisasi perkauman. Ia juga merupakan petunjuk bahawa PAS tidak boleh masuk PRU akan datang kecuali jika mereka hanya berminat bertanding di Pantai Timur. Begitu juga dengan situasi yang dihadapi DAP, jika DAP berfikir AMANAH dapat menggantikan PAS, maka jawapannya juga adalah tidak.

5. Isu nasional seperti skandal 1MDB, Deklarasi Rakyat dan Hudud, gagal menjadi isu terpenting untuk rakyat membuat keputusan. Isu terpenting adalah pihak pembangkang berpecah dan bertanding melawan sesama sendiri. Hampir semua komen membalun pembangkang kerana tidak bersatu. Rakyat biasa kecewa dengan pembangkang yang berpecah dan bukannya dengan Dr. Mahathir. Dr. Mahathir hanyalah seorang oportunis yang gigih dalam menggunakan segala yang ada untuk menundukkan musuh politiknya. Apa sebenarnya pembangkang mahu daripada rakyat?

Namun, faktor paling penting yang membawa kepada kegagalan pembangkang, seperti yang dijangka, adalah keangkuhan mereka dan kegagalan mereka dalam mengawal ego mereka sendiri. Dengan adanya pertarungan tiga penjuru, mereka sudahpun mengetahui bahawa mereka menuju kepada kekalahan, tetapi mereka bersama dengan ikon terbaru mereka Dr. Mahathir cuba menjadikan ini satu referendum terhadap Najib Razak. Jika ia adalah pertarungan satu lawan satu dan ada peluang untuk memang, memang wajarlah kita membuka referendum ini, tetapi apabila kita tahu akan kalah dan masih terus mengajak rakyat untuk membuat referendum, maka akhirnya kita kena juga menjilat luka yang kita sendiri wujudkan.

Sekarang ini, Najib mengatakan bahawa referundum terhadapnya tewas dan dia menjadi semakin yakin lagi angkuh. Kemenangan ini juga menjadikan rakyat semakin berputus asa dengan pembangkang. Andaikata jika pembangkang bijak dan hanya berkata bahawa PRK ini sekadar untuk melihat sejauh mana kekuatan pembangkang setelah berpecah, maka ia lebih realistik. Namun, PH berjudi dengan masa depan negara dalam satu pertarungan yang mereka sudahpun kalah sebelum bermula. Kini, susah untuk kita mematahkan hujah Najib yang berkata bahawa dia menang kepercayaan rakyat dan sebagainya kerana kitalah yang memberikannya peluang ini.

Sepanjang kempen PRK baru-baru ini, kita dapat melihat cara DAP berkempen dengan papan tanda perkauman di bulan Ramadan, menunjukkan mereka masih gagal memahami sentimen rakyat . Media sosial dan maklumat yang pantas dan pintas hari ini menyebabkan semua perkara yang kita buat di sesuatu tempat boleh digunakan terhadap kita di tempat lain. Maka, bermain politik perkauman atau bercakap secara lidah bercabang bukan lagi satu pilihan pada zaman sekarang. Ternyata parti AMANAH tidak selesa dengan cara DAP berkempen yang agresif, tetapi apa boleh dibuat memandangkan AMANAH bergantung kepada jentera DAP.

Undi orang Cina yang kembali sedikit kepada BN menunjukkan bahawa undi masyarakat Cina ini bukanlah “cek kosong untuk DAP”. Masyarakat Cina menunjukkan satu isyarat yang ketara, baik di Sarawak mahupun di Semenanjung, bahawa mereka sudah semakin bosan dengan pembangkang yang berpecah dan terus berpecah. Saya juga yakin ramai pengundi Cina dari luar negeri atau luar negara tidak turun mengundi kerana merasakan ini bukan suasana “Ini kalilah”, maka mereka berfikir lain kalilah sahaja. Maka, jika ada anggapan bahawa rakyat akan mengundi kita walaupun seteruk apapun, bukan sesuatu yang boleh dijamin.

Dua PRK ini sebenarnya bukan satu referendum untuk Najib dan BN. Bagi saya, kedua-dua Najib dan BN masih tidak popular, kerana rakyat memang bencikan mereka. Namun, referendum sebenar PRU ini adalah pungutan suara ke atas pembangkang – sama ada Pakatan Harapan, DAP, AMANAH, Azmin Ali dan PAS…

Pembangkang kalah kerana berpecah. PRU-14 nanti pembangkang akan terus kalah jika terus berpecah. Maka isu 1MDB, Deklarasi Rakyat dan Dr. Mahathir serta lain-lain lagi tidak dapat memenangkan pembangkang, kecuali pembangkang dapat menjadi satu alternatig yang kukuh dan kuat. Kekalahan semakin kelihatan di Selangor, negeri terkaya di Malaysia.

Jadi, hanya ada dua pilihan untuk pembangkang. Perlawanan penentuan tidak lama lagi. Pembangkang harus mengembalikan keyakinan rakyat.

Pilihan pertama adalah pembangkang berjaya bekerjasama untuk memastikan satu lawan satu di semua kerusi. Ini memerlukan setiap parti untuk berkompromi. Ini amat mustahil selagi ada PAS dan parti serpihannya AMANAH. Memang PAS lebih kuat daripada AMANAH dari segi jentera dan parti yang paling kuat di kawasan pedalaman Melayu berbanding dengan AMANAH, PKR dan DAP. Maka, jika suatu parti perlu dikorbankan, maka PAS dan PKR akan memilih untuk mengorbankan AMANAH. Akibatnya, ramai pemimpin AMANAH yang memang terdiri daripada aktivis yang baik dan berpengalaman, mungkin terpaksa bertanding dengan logo parti DAP atau PKR. Ini juga susah dilakukan, kerana ini bererti DAP terpaksa menelan air liur dan ego mereka di mana ia adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Pilihan kedua adalah membuat satu gabungan baru melibatkan satu gerakan yang jauh lebih besar dan menyeluruh. Ia perlu melibatkan parti-parti di Pulau Borneo dan juga parti lain seperti PSM dan PRM. Melibatkan aktivis hak asasi dan NGO yang berkaliber. Melibatkan pemimpin akarumbi, kesatuan sekerja, persatuan peladang, nelayan, kumpulan mahasiswa, anak muda dan lain-lain lagi. Menwujudkan satu wawasan misi baru dan satu logo baru. Hanya dengan cara ini kita dapat menyajikan satu hidangan baru dan segar. Pilihan baru ini mungkin dapat menyakinkan rakyat jika mempunyai satu program nasional di mana isu-isu asas seperti kemiskinan luar bandar, isu persoalan nasional yang meliputi agama dan bahasa, serta polisi ekonomi dapat diselesaikan melalui satu formula baru untuk perbincangan dan konsensus. Ini adalah satu gabungan semua kumpulan yang progresif, demokratik dan menyeluruh dengan menyatukan segala kekuatan pembangkang bersama program yang jelas dan bukan samar-samar. Ini susah dilakukan tetapi bukan mustahil.

Pakatan Harapan yang menjelma daripada Pakatan Rakyat terbukti tidak boleh pakai, dan jika satu penjelamaan baru secara berpura-pura dilakukan antara 3 parti ini dengan wajah baru, sudah tentunya tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang semakin celik dalam politik. Oleh itu, kita memerlukan satu inisiatif yang baru untuk membentuk satu gabungan yang baru dan lebih besar. Pemimpin-pemimpin masyarakat madani harus kembali bersama untuk memimpin gerakan ini.

Politik baru ini memerlukan kepimpinan yang dinamik dan pragmatik. Keangkuhan yang ada di kalangan pemimpin pembangkang harus dibuang ke dalam tong sampah sejarah jika pembangkang tidak mahu hanya menjadi statistik sejarah.

Melawan UMNO-BN dan segala jentera mereka memerlukan satu gerakan nasional dari bawah. Ini memerlukan penglibatan rakyat, input rakyat. Rakyat perlu melibatkan diri secara langsung dalam proses perubahan dan penggubalan agenda masyarakat. Pakatan Harapan dan PAS tidak boleh lagi menganggap diri mereka dapat mewakili kepentingan rakyat, kerana rakyat sudah bosan dengan permainan politik dalam pembangkang.

Satu parti politik dengan sokongan massa hanya boleh dibentuk dan disemai dari bawah dengan sokongan rakyat. Ia tidak boleh dibentuk dari atas dan diselimuti dengan keangkuhan dan ego. ##

Arutchelvan PSM

One thought on “Padah Jadikan PRK Referendum Untuk BN/Najib – PSM

  1. PSM tidak perlu menyibukkan diri tentang cuma nak menjatuhkan BN. Pakatan rakyat atau pembangkang sendiri melanggar aspirasi ideologi sosialis. PSM sepatutnya kritikal kepada tindak tanduk kerajaan Selangor Dan Pulau Pinang yang mentadbir tidak kurang bezanya dari BN yang kapitalis. PSM sepatutnya sedar diri seperti Pas yang sekarang kembali semula kepada akarnya iaitu Islam dan PSM sepatutnya berpegang kepada faham sosialis yang asal bukan menggadai ideologi semata-mata untuk mendapat kerusi dengan cara murahan. Contohi gerakan sosialis di negara maju seperti UK, Australia dan sebagainya yang terus berpegang kepada faham ini dan terus mendidik masyarakat tentang satu sistem sosial yang adil dan bijaksana.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s