Guan Eng Mahu Kekal Pegang Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang

Guan Eng dan Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
Guan Eng dan Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

AIDCNews – 30/6/16 – Lim Guan Eng mahu mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, meskipun beliau kini didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

“Buat masa ini, saya akan kekal Ketua Menteri Pulau Pinang. Tetapi jawatankuasa DAP negeri akan mengadakan mesyuarat untuk membuat keputusan,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berkenaan kedudukan jawatannya selepas didakwa di mahkamah.

Ditanya sama ada beliau secara peribadi berpendapat bahawa beliau perlu berundur, Guan Eng berkata beliau akan menyerahkan keputusan itu kepada parti.

Guan Eng hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama beliau didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town pada 18 Julai 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Guan Eng lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Eng hari ini, dibenarkan ikat jamin RM1 juta, manakala Phang sebanyak RM200,000.

Barisan pendakwa diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh, Ramkarpal Singh dan RSN Rayen.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s