Selangor Akan Jatuh Ke Tangan BN Jika Pembangkang Terus Bertelagah, Kata Iskandar

AIDCNews – 14/7/16 – Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad memberi peringatan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14), jika pembangkang terus bertelagah sesama sendiri.

Iskandar yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu pembangkang melakukan gencatan senjata dan memberikan tumpuan kepada musuh bersama iaitu UMNO-BN.

“Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan realiti politik tersebut.

“Jika suasana hari ini berlarutan kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka (BN) pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Satu formula yang akan memastikan prinsip-prinsip semua pihak dihormati mesti dicari,” katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar lalu adalah iktibar terbaik bagi parti pembangkang yang gagal mencapai persefahaman politik sehinggakan BN mampu untuk mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti lebih besar.

“Saya menyokong gesaan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar parti-parti pembangkang menumpukan usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional dan bukan bertelagah sesama sendiri.

“Keputusan PRK Sungai Besar menunjukkan bahawa jika pembangkang gagal mencapai persefahaman pilihan raya (electoral understanding) maka Barisan Nasional yang akan meraihkan keuntungan,” katanya lagi.

Saranan Tuan Ibrahim itu juga disambut baik oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pendirian Tuan Ibrahim itu telah memberikan harapan baharu kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan.

Azmin berkata sejarah membuktikan perpaduan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen dua kali berturut-turut.

Pembangkang juga, katanya, memperoleh majoriti undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Sebaliknya, perpecahan hanya menguntungkan BN, seperti dalam pilihan raya Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, katanya.

Turut menyokong saranan Tuan Ibrahim itu adalah Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

“Masih belum terlewat untuk memulihkan kembali perhubungan di kalangan parti-parti pembangkang dan kenyataan Tuan Ibrahim itu adalah satu kenyataan bahawa kesediaan PAS untuk bersama dengan parti pembangkang yang lain dan saya sifatkan sebagai pendirian bahawa PAS yang agak menarik selepas hubungan antara parti pembangkang yang agak renggang,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata semua kepimpinan dan ahli PAS seharusnya istiqamah dengan melihat kenyataan Tuan Ibrahim itu sebagai satu langkah kedepan yang tersirat demi kelangsungan pembangkang yang kian terancam ekoran perpecahan sesama sendiri.

“Kenyataan Tuan Ibrahim itu satu kenyataan yang harus dilihat pada masa depan parti itu sendiri. Saya lihat kenyataan itu menarik, perubahan pendirian PAS daripada menganggap Amanah, DAP itu musuh dan (PAS) macam bersedia untuk memaafkan PKR yang turun berkempen untuk Amanah pada PRK yang lalu yang mengajak pengundi menolak calon PAS.

“Ini bermakna sesuatu yang menunjukkan kesediaan untuk gencatan senjata dan juga berkompromi menunjukkan PAS bersedia melupakan segala lontaran kata-kata dan tuduhan yang berbagai kepada parti (pembangkang) yang lain,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu Mahfuz berkata langkah PAS menawarkan gencatan senjata kepada parti pembangkang dengan jelas menunjukkan bahawa PAS turut mengiktiraf peranan Amanah selaku sebahagian daripada pembangkang di negara ini.

Bagaimanapun kata Mahfuz kenyataan Tuan Ibrahim itu padanya turut menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli dan pemimpin PAS apabila dua Muktamar sebelum ini dengan tegas memutuskan hubungan dengan DAP dan menyifatkan Amanah sebagai pengkhianat.

“Saya anggap kenyataan itu telah memberikan satu perakuan dan pengiktirafan terhadap parti pembangkang yang lain termasuk Amanah dan DAP yang sebelum ini sangat dimusuhi oleh PAS dalam satu tempoh selepas krisis yang berlaku dahulu.

“Jadi dia (PAS) macam sudah menerima walhal dalam Muktamar sendiri telah mengisytiharkan putus hubungan dengan DAP, dan dalam Muktamar baru-baru ini pula diisytiharkan Amanah adalah musuh kepada PAS oleh Datuk Mustafa Ali.

“Saya tidak menganggap usul daripada Dewan Muslimat minta supaya diputuskan hubungan dengan PKR dan saya harap jangan ada kepimpinan dan ahli PAS yang menganggap Tuan Ibrahim sudah berlawan dengan keputusan Muktamar,” ujarnya.

Bagaimana pun, Dewan Ulama PAS pusat menafikan seruan Tuan Ibrahim itu bermaksud PAS telah bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, PAS buat masa terdekat tidak bercadang untuk menyertai PH sebaliknya mahu semua parti pembangkang berhenti bercakaran dan ‘bersatu’ dalam menjayakan matlamat yang sama untuk menumbangkan Umno-BN.

“Kita di dalam satu gabungan memang berbeza, tapi tak perlu untuk kita serang satu sama lain kerana matlamat kita bukan nak jatuhkan pembangkang atau menang sendiri walaupun kita masing-masing (berbeza).

“Kalau betul matlamat untuk jatuhkan Umno-BN maka itulah tumpuan kita perkukuhkan parti masing-masing. Untuk meraih undi daripada orang ramai tak perlu serang menyerang,” katanya kepada Antarapos.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor turut menolak dakwaan yang mengatakan PAS sebagai punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR dan DAP sebelum ini.

“Masing-masing punyai prinsip, jadi apabila prinsip PAS dipersoalkan maka PAS bertindak balas dengan kita keluar dari PR, dan bukan PAS yang memulakan sebaliknya DAP kerana apa jua yang disuarakan PAS tidak dipersetujui,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s