Najib Tidak Dinamakan Sebagai Defendan Atau Dikatakan Lakukan Salah Laku

apandiPUTRAJAYA- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dinamakan sebagai defendan atau dikatakan melakukan sebarang salah laku jenayah dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi turut memandang berat terhadap sindiran dan dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap Perdana Menteri mengenai apa yang dikatakan salah laku jenayah berhubung tindakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa tindakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau dikatakan telah melakukan salah laku jenayah,” kata beliau dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata pada masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia mengenai perkara-perkara berkaitan 1MDB.

“Oleh kerana siasatan sedang dijalankan, adalah tidak wajar untuk mendedahkan butiran yang mungkin boleh menjejaskan siasatan. Peguam Negara harus menegaskan bahawa adalah penting untuk mengekalkan integriti siasatan supaya orang ramai tidak meragui hasil siasatan,” kata Mohamed Apandi.

Mohamed Apandi berkata sehingga kini Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang permintaan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat atau bukti.

“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan permintaan seperti itu selaras dengan komitmen kami dalam kerjasama dan kolaborasi antarabangsa dalam memerangi pengubahan wang haram dan amalan rasuah,” kata beliau.

Peguam Negara menekankan bahawa sebagai Pendakwa raya, beliau tidak teragak-agak untuk memulakan prosiding terhadap pelaku perlakuan jenayah jika ada bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Sebarang salah laku mesti dan akan dihukum. Malaysia sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Peguam Negara berkata tindakan sivil telah difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi pelucutan hak aset-aset berkaitan dan bahawa perkara itu kini tertakluk di bawah mahkamah sivil di Amerika Syarikat.

“Peguam Negara seterusnya menarik perhatian bahawa asas bagi tindakan sivil untuk melucuthak aset-aset oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah berkaitan berlaku apa yang dikatakan pengubahan haram wang yang dilesapkan dari 1MDB. Bagaimanapun, Peguam Negara menekankan bahawa sehingga kini:

(i) tiada bukti dari mana-mana penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan bahawa wang telah dilesapkan dari 1MDB; dan

(ii) tiada pertuduhan jenayah difailkan terhadap mana-mana individu bagi kesalahan melesapkan dana dari 1MDB – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s