Nik Aziz Sudah Jangka Pakatan Rakyat Akan Berkubur – Nik Abduh

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu, bapanya sudah meramalkan Pakatan Rakyat akan terkubur kerana gabungan itu semakin lemah.

Ujarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Mursyidul Am PAS memandang berat sikap DAP yang enggan bertolak ansur dengan dasar yang dibawa PAS malah banyak isu dalam gagasan itu sukar mencapai kata sepakat.

“Ayah tahu Pakatan Rakyat semakin lemah, kerana DAP menentang agenda PAS, malah enggan bertolak ansur dan bertindak kasar,” kata Nik Abduh dipetik dari Oriental Daily.

Nik Abduh berkata, DAP adalah parti yang mempunyai agenda tersembunyi dan ia juga adalah punca PAS serta parti itu tidak dapat bekerjasama untuk jangka panjang.

“DAP tidak boleh menerima ajaran Islam sebenar, tetapi mereka mendakwa boleh terima Islam dan inilah agenda tersembunyi yang saya maksudkan,” katanya sambil menambah DAP hanya mahu memahami dan menerima Islam berdasarkan skop mereka.

Tegasnya, jika DAP berhasrat mengajak PAS kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu mengakui parti Islam itu bukan punca PR dibubarkan.

“Berdasarkan situasi politik sekarang, saya berpendapat DAP tidak dapat terima syarat itu kerana ia adalah sebuah parti yang cepat melatah dan pentingkan diri,” katanya sambil menambah DAP tidak perlu menerima ideologi politik PAS, sebaliknya mereka hanya perlu menghormati parti Islam itu.

Jelasnya, amat sukar untuk PAS dan DAP duduk semeja, Amanah lebih teruk kerana mereka mengkhianati PAS.

Menurutnya, ayahnya juga menjangkakan PAS akan berdepan krisis disebabkan perpecahan dalam parti Islam itu sendiri.

“Beliau juga dengan jelas meminta ahli terus menyokong pucuk pimpinan parti. Media pernah melaporkannya dan semua orang tahu perkara ini,” katanya sambil menepis dakwaan perjuangannya tersasar daripada matlamat ayahnya, sebaliknya segala tindakannya sama dengan ayahnya.

Beliau berkata, disebabkan PAS memilih untuk tidak menyertai PH, maka parti Islam itu didakwa menyokong Barisan Nasional.

“Mengikut kefahaman saya, PAS tidak pernah berunding dengan Umno berhubung pembahagian kerusi, yang ada hanyalah menyusun semula persiapan cawangan untuk menentang Umno,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abduh menolak dakwaan mereka 10 beradik bergaduh, sebaliknya beliau berkata, hubungan mereka amat baik dan sering berjumpa.

“Hanya kakak sulung tinggal di Kuala Lumpur, manakala yang lainnya tinggal di Kelantan, jadi kami sekeluarga dan adik-beradik akan berkumpul setiap minggu,” katanya – AP

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s