AIDCNews – 12/8/16 – Walaupun bukan mewakili pandangan rasmi DAP, namun Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pusat meneruskan kecaman terhadap parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamed.
Ketua DAPSY Wong Kah Woh menyifatkan parti baharu yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu sebagai parti perkauman yang ketinggalan zaman apabila mengkhususkan keahliannya kepada kaum Melayu dan Bumiputera sahaja dan hanya menerima keahlian bukan Melayu sebagai ahli bersekutu.
“Struktur ini menghalalkan diskriminasi berdasarkan kaum, agama, jantina atau kawasan dan tidak harus wujud dalam sebuah parti baharu zaman moden Malaysia, khasnya untuk sebuah parti yang berkemungkinan akan menjadi parti pemerintah pada satu hari nanti,” ujarnya ketika dihubungi Roketkini.
Menurut Adun Canning itu, dasar keahlian Bersatu hanya membuktikan wujudnya usaha untuk terus meletakkan orang bukan Melayu-Bumiputera sebagai warga kelas kedua.
“Ia juga suatu petanda parti baharu ini mempunyai penyakit perkauman dan politik identiti yang ketinggalan zaman, dan ia perlu sedar dan mengubati penyakit itu,” jelas beliau, mengulas lanjut kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAPSY, Chiong Yoke Kong sebelum ini.
Yoke Kong terlebih dahulu mengecam dasar keahlian parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanjutkan dasar politik berasaskan kaum.
Bagi Kah Woh, parti Bersatu perlu segera menyedari dan memperbetulkan kesilapan memilih dasar keahlian sedemikian.
Pemuda DAP Tolak Kerjasama Dengan Parti Muhyiddin
Hari ini, Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CEC) DAP pusat, Gobind Singh Deo menafikan pandangan DAPSY itu mewakili suara parti, sebaliknya pendirian parti hanya diputuskan oleh CEC sahaja.
Gobind berkata DAP akan mengadakan mesyuarat dengan Parti Bersatu pada Selasa depan untuk membincangkan secara terperinci soal kerjasama itu.
“DAP Pusat akan mengadakan mesyuarat pada 16 Ogos (Selasa) untuk membincangkan hal ini. Sebelum dari itu kita akan mengambil pandangan dari semua pihak dan akan umumkan keputusan apabila bermesyuarat kelak,” katanya.
[…] kemudiannya disambut oleh Ketua DAPSY, Wong Kah Woh yang menganggap parti Mahathir itu sebagai ketinggal zaman dan tidak sesuai dengan zaman […]
LikeLike