Naib Ketua Pemuda PAN Dihukum Penjara Lapan Bulan

AIDCNews – 25/8/16 –Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Anwar Ibrahim dalam satu siri protes jalanan #KitaLawan, di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tahun lalu.

Hakim Shamsudin Abdullah dalam penghakimannya dilaporkan Bernama berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu kerana perkataan hasutan yang digunakan tertuduh mendatangkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap pentadbiran negara.

“Hukuman adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan mereka yang cenderung melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang dan mengambil kira kepentingan awam agar keselamatan tidak tergugat.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan berkuat kuasa hari ini,” kata hakim itu kepada tertuduh yang juga bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd Fakhrulrazi, 38, sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dan menaikkan wang jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Fakhrulrazi, yang juga Ketua PAN Perak diarah membela diri pada 26 Mei lalu selepas mahkamah mendapati terdapat prima facie di peringkat pendakwaan.

Pada 8 Sept tahun lepas, Mohd Fakhrulrazi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, pada 4.30 petang, 21 Feb 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Fakhrulrazi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda mengambil kira ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Katanya mahkamah seharusnya memberi peluang kedua dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh.

“Tertuduh sudah berkahwin, isterinya seorang guru dan mempunyai enam orang anak berusia 11 bulan sehingga 13 tahun telah beri kerjasama baik kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Peguam itu berkata tertuduh juga berpotensi dan berkemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan memohon jumlah denda tidak melebihi RM2,000.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bagi memberi pengajaran selain setimpal dengan kata-kata tertuduh yang berkencederungan menghasut.

Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu manakala tertuduh adalah saksi tunggal dalam prosiding membela diri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s