Bertemu Anwar, Bekas Aktivis Reformasi Anggap Tun M Terdesak

AIDCNews – 06/9/16 – Kesediaan bekas Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dan memberi sokongan kepada bekas timbalannya, Anwar Ibrahim semalam membuktikan bekas perdana menteri itu sudah terdesak kata bekas aktivis reformasi.

Dua bekas aktivis reformasi itu berkata Dr Mahathir kehilangan punca dalam usahanya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyebabkan beliau mengambil tindakan bertemu Anwar.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berkata pertemuan itu tidak akan membawa apa-apa makna selagi Dr Mahathir tidak memohon maaf kepada Anwar dan rakyat Malaysia.

“Dr Mahathir tiada jalan lain untuk berdepan dengan suasana politik kini yang sudah betul-betul santak ke dinding.

“Dr Mahathir perlu pulangkan semua harta yang dirompak daripada rakyat. Dia tidak boleh menipu persepsi rakyat dengan tiba-tiba muncul di mahkamah hari ini,” kata bekas ahli PKR yang baru dipecat itu ketika dihubungi FMT.

Bekas setiausaha Pemuda Keadilan, Datuk Lokman Noor Adam berkata kesediaan Dr Mahathir hadir untuk bertemu Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menunjukkan bekas perdana menteri itu benar-benar kehilangan punca untuk mencapai cita-cita politiknya.

“Dr Mahathir yang saya kenal dan lawan selama 18 tahun adalah seorang yang cukup tinggi egonya. Ini menunjukkan beliau terlalu terdesak, dan kehabisan idea untuk menjatuhkan Najib kecuali dengan bersama orang yang pernah dipecat dan hina.

“Jika Anwar sanggup memaafkan dan bersatu dengan Dr Mahathir sekalipun, pembangkang tetap tidak akan mempunyai satu suara untuk berdepan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Lokman berkata Anwar yang kini sudah berstatus banduan sudah tidak lagi hebat berbanding dengan semasa bekas Ketua Pembangkang itu berada di luar penjara satu masa dahulu.

Lokman yang juga panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata pertemuan itu sia-sia kerana Anwar kini bukan lagi tokoh penyatu blok pembangkang.

“Saya hendak ingatkan Tun Mahathir bahawa Anwar pada PRU ke-13 dan sekarang sangat beza, Anwar di luar penjara dahulu lebih hebat daripada di dalam penjara.

“Semasa Anwar dibebaskan dahulu, dia berjaya menyatukan DAP, PAS dan PKR, tetapi apabila dia dipenjarakan, PAS tidak lagi bersama Pakatan Harapan.

“Maknanya usaha Tun M ini sia-sia. Kehadirannya ke mahkamah dan sanggup membuang ego tiada hasilnya kerana Anwar sendiri sudah tidak mampu menyatukan pembangkang,” katanya.

Tambahnya, pertemuan Dr Mahathir dengan Anwar itu juga ada kaitan dengan masa depan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Ada beberapa sebab Tun Mahathir ambil keputusan hendak jumpa Anwar. Tun Mahathir sedar untuk parti barunya menyaingi UMNO, ia perlu dilakukan dengan mengadakan pertandingan satu lawan satu dan Tun Mahathir sedar pembangkang tidak 100 peratus menerimanya.

“Saya tahu kerana pernah berada bersama pembangkang ketika dalam perbincangan pengagihan kerusi. Perkara yang sama akan dilalui Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka perlu yakinkan rakyat untuk mengganti UMNO.

“Mereka perlu bertanding kerusi yang mencukupi lebih daripada PKR, DAP, Amanah atau Pas. Apabila Pribumi meminta kerusi lebih, percakaran sesama mereka akan menjadi klimaks dan perpecahan mereka menyebabkan BN kembali memerintah negara dengan majoriti dua pertiga,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pertemuan Dr Mahathir dan Anwar akan memberi impak negatif terhadap PKR.

“Akhirnya, Dr Mahathir bertemu Anwar di mahkamah untuk raih sokongan PKR. Beliau lupa 20 tahun lalu ramai meninggalkan Umno kerana PKR di atas apa yang beliau lakukan terhadap Anwar.

“Pertemuan ini akan menyebabkan ahli PKR berasa tidak puas hati. Ia sebenarnya membantu Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

“Ia juga akan menimbulkan rasa tidak senang mereka yang boleh mengakibatkan mereka untuk meninggalkan PKR,” katanya pada sidang media.

Tambah Nur Jazlan pertemuan kedua tokoh itu memberi isyarat bahawa Dr Mahathir bakal menjadi ‘penasihat umum’ pembangkang yang baharu bagi menggantikan Anwar.

“Mereka (Pembangkang) telah berpecah dengan teruk. Tetapi mereka sedang mencari seseorang yang boleh menjadi ‘unfier’ kepada mereka… mereka nak cari Dr Mahathir,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s