Tahukah Anda Sejak 2010, Hospital Kerajaan Sediakan Perkhidmatan Ubat Melalui Pos ?

posMy Nation News – SEJAK sembilan tahun lalu, Shazwani Alias, 26, terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebanyak tiga kali sebulan untuk mendapatkan bekalan ubat susulan bagi penyakit buah pinggang yang dihidapnya.

Pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dalam jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) itu pernah menjalani rawatan pembedahan transplan buah pinggang di hospital yang sama pada tahun 2004.

Sebagai pelajar, rutin itu menyebabkan dia sering tertinggal dalam pelajaran. Dia juga pernah dimarahi pensyarah kerana kerap ponteng kuliah disebabkan perlu mengambil ubat di hospital pada setiap bulan.

Bagaimanapun, sejak tahun 2010, Shazwani menarik nafas lega berikutan wujudnya Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M) yang dicetuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah, sejak menggunakan perkhidmatan UMP1M, banyak masa dapat dijimatkan. Paling penting saya tidak perlu lagi ponteng kelas untuk ke hospital bagi mengambil bekalan ubat.

“Selain itu, saya juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan tambang teksi atau tol untuk ke hospital,” jelas Shazwani yang semakin sihat ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

UMP1M merupakan lanjutan kepada projek perintis yang berjaya dijalankan di Hospital Putrajaya, empat tahun lalu. Ia adalah transformasi KKM demi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Pada mulanya hanya hospital utama yang menyediakan perkhidmatan ini.

KAKITANGAN Pos Malaysia mengutip bungkusan pos laju yang mengandungi ubat pada setiap Sabtu dan dihantar ke destinasi dalam tempoh 24 jam.

Kerjasama Pos Malaysia

Namun, bermula tahun 2011, ia diperluaskan ke seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 53 buah hospital dan 55 buah klinik kesihatan telah menawarkan perkhidmatan tersebut. Sambutan yang menggalakkan daripada pesakit merupakan petunjuk keberkesanan perkhidmatan ini. Memandangkan HKL merupakan hospital rujukan utama, pesakit datang dari seluruh Malaysia ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Perkhidmatan ini mendapat kerjasama daripada pihak Pos Malaysia Berhad.

Bagi mendapatkan perkhidmatan, pesakit hanya perlu membayar kos penghantaran serendah RM5 sebaik sahaja menerima bekalan ubat.

Lokasi penghantaran ubat pula tidak terhad kepada sesuatu kawasan sebaliknya meliputi seluruh negara. Ia akan dihantar ke rumah, pejabat atau mana-mana destinasi pilihan pesakit. Bekalan ubat yang dihantar adalah dalam bentuk tablet atau kapsul sahaja.

Menurut Ketua Jabatan Farmasi HKL, Abida Haq Syed M. Haq, hanya pesakit kronik seperti penghidap hipertensi, sakit jantung dan diabetes dibenarkan menggunakan perkhidmatan pos bagi mendapatkan bekalan ubat susulan.

Kebiasaannya pesakit seperti ini akan berjumpa dengan doktor setiap tiga hingga enam bulan sekali. Bekalan ubat pula diberikan pada setiap bulan dan mereka dikehendaki datang berulang kali ke hospital sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui di Jabatan Farmasi HKL baru-baru ini.

Namun begitu, pesakit harus memahami cara-cara untuk menggunakan perkhidmatan ini terlebih dulu. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat pendaftaran dengan UMP1M ketika mengambil ubat pertama di farmasi hospital selain menepati kriteria yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, sehingga kini sebanyak 1,361 pesakit HKL telah berdaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini. Kira-kira 2,736 bungkusan telah dikirim dari HKL tanpa mengalami sebarang masalah setakat ini.

Setiap bungkusan ubat diuruskan oleh dua orang pegawai farmasi untuk memastikan ubat, arahan penggunaan, label, dan kuantiti yang dibekalkan termasuk alamat pesakit adalah betul.

Kemudian wakil Pos Laju akan mengutip semua bungkusan dari hari Isnin hingga Jumaat dan semua bungkusan akan dihantar ke destinasi dalam tempoh 24 jam.

Di samping itu, pihak farmasi juga mengamalkan sistem temu janji melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas kepada pesakit selepas kiriman dibuat untuk memastikan bungkusan ubat selamat sampai kepada pesakit.

Bagaimanapun, bekalan ubat tidak diberikan terus kepada pesakit dalam tempoh masa yang panjang. Ini disebabkan kaedah penstoran di rumah tidak menjamin ubat disimpan dengan betul.

Sehingga Jun 2013, dianggarkan sebanyak 99,095 bungkusan bekalan ubat telah dihantar kepada pesakit sejak UMP1M diwujudkan di negara ini.

Sementara itu, seorang pesara syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Abu Bakar Katan, 61, memberitahu, dia telah menggunakan perkhidmatan UMP1M sejak setahun yang lalu.

Dia yang berasal dari Batu Caves, Selangor bukan sahaja menghidap penyakit asma malah pelbagai jenis penyakit lain seperti jantung dan diabetes sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, perkhidmatan tersebut turut menyelesaikan masalah yang dihadapinya sebelum ini yang adakalanya terpaksa bergantung kepada ahli keluarga untuk mendapatkan ubat.

“Sebelum ini, sebulan sekali saya akan ke HKL untuk mengambil ubat. Apabila umur semakin meningkat, tahap kesihatan tidak lagi mengizinkan saya untuk memandu jauh.

“Perkhidmatan ini secara tidak langsung memudahkan pesakit daripada kalangan warga emas seperti saya untuk mendapatkan bekalan ubat tanpa perlu menunggu lama di kaunter farmasi. Di samping itu, ia dapat mengelakkan kesesakan yang sering berlaku di hospital,” jelasnya. // Kosmo

http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/perkhidmatan-ubat-melalui-pos-1malaysia-ump1m.html

din

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s