Nallakaruppan Beritahu Mahkamah Dirinya Dikhianati Anwar

KUALA LUMPUR – Senator Tan Sri S Nallakaruppan merasakan dirinya dikhianati dan kecewa selepas bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memintanya menarik diri daripada bertanding jawatan Naib‎ Presiden PKR dan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok pada 2007, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

“Dalam PRK pada 28 April, 2007 di Ijok, saya sepatutnya bertanding mewakili PKR. Bagaimanapun, saya dipinggirkan secara tidak adil untuk memberi laluan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon,” katanya semasa disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Nallakaruppan memberi keterangan sebagai saksi kelima pihak pendakwaan pada hari ketiga perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta difailkan Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat, terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Nallakaruppan, 69, yang juga Pengasas dan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata sebelum itu, Anwar menyokongnya untuk menjadi calon PRK‎ Ijok tetapi pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon, Anwar telah memintanya menarik diri.

Kepada soalan lain Muhammad Shafee, katanya beliau menduduki ranking kedua tertinggi sebelum Anwar memberitahunya supaya tidak bertanding dalam PRK Ijok.

Nallakaruppan berkata sebelum beliau keluar parti, dirinya telah diminta oleh Anwar untuk tidak bertanding jawatan naib presiden parti pada 26 Mei, 2007, untuk memberi laluan kepada “calon pilihannya” yang juga “pilihan pertama”, Azmin Ali.

Katanya beliau tiada pilihan selain mematuhi arahan Anwar.

“Oleh itu, saya menyerahkan surat penarikan diri saya pada 18 Mei, 2007. Susulan itu, saya keluar parti,” katanya dan menurutnya beliau merasakan dirinya telah dikhianati dan kecewa pada waktu itu.

Nallakaruppan berkata beliau telah berkawan dengan Anwar selama lebih 34 tahun, sehingga hari ini.

“Saya diperkenalkan kepada plaintif (Anwar) oleh seorang daripada pemimpin MIC pada 1980, mendiang Datuk K Pathmanaban dan Datuk Gurdial Singh dan kami (plaintif dan saya) selalu bermain tenis bersama-sama.

“Semasa saya menyertai PKR pada 2006, saya percaya dengan keupayaan plaintif untuk menerajui negara dan ia mengambil masa setahun untuk saya menyedari impian PKR hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi penasihat dan pemimpinnya, iaitu plaintif,” katanya.

Nallakaruppan berkata, beliau kenal Khairy secara peribadi menerusi kalangan orang politik dan mereka bertemu selepas dirinya (Nallakaruppan) meninggalkan PKR.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dan menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi, mendakwa Khairy yang ketika itu ialah Naib Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan perkataan memfitnah terhadapnya dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Februari, 2008.

Anwar mendakwa perkataan memfitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ telah dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan bersambung esok. – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s