PAS Tidak Akan Kerjasama Dengan DAP & Sekutunya, Kata Nasrudin

PETALING JAYA: Usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatukan semua parti pembangkang di bawah 1 pakatan besar mungkin gagal, disebabkan keengganan PAS bekerjasama dengan DAP.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, parti Islam itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berhasrat membawa pembaharuan kepada negara, namun ia tidak akan mengulangi kesilapan sama untuk bekerjasama dengan DAP.

“Kita tidak boleh bersama DAP dan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Ini adalah satu penegasan yang dibuat presiden parti, kerana kita mempunyai sejarah yang cukup untuk mengajar kita kenapa kita membuat pendirian sedemikian.

“Kita tidak mahu pengalaman lalu berulang kembali yang pastinya akan menyusahkan PAS dan mengganggu matlamat perjuangan PAS.

“Sehingga hari ini, DAP masih tegar untuk menentang dasar Islam yang diperjuangkan PAS dan mereka yang bersama DAP, ertinya mereka bersetuju dengan sikap yang diambil DAP terhadap PAS. Bagaimana kami nak bersama dengan mereka?” soalnya ketika dihubungi FMT hari ini.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Temerloh itu berkata, PAS sentiasa mengalu-alukan mereka yang mahu menggerakkan perubahan menyeluruh dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawakan parti itu.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pembentukan 1 pakatan pembangkang yang besar bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kerana pertandingan pelbagai penjuru hanya memanfaatkan BN.

Nasrudin berkata, PAS tidak akan berundur daripada kerusi tradisinya dan parti pembangkang lain yang patut dipersalahkan kerana bertanding di kerusi sama sehingga menyebabkan pertandingan 3 penjuru berlaku.

“PAS akan bertanding di kerusi PAS. Kalau ada pihak lain masuk di tempat kerusi PAS, maka kenapa PAS disalahkan, patutnya pihak lain yang kena berundur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pula berkata, parti itu bersedia mengetepikan perbezaannya dengan PAS demi kebaikan negara.

“Amanah menyokong penuh pembentukan pakatan pembangkang yang besar, malah kami yang mengilhamkannya untuk menentang BN.

“Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa, selagi kami semua boleh duduk bersama dan berbincang. Tetapi, tidak boleh ada situasi di mana awak tidak mahu datang ke meja rundingan dan mahu pihak lain ikut cakap awak,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu kepada FMT.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika ditanya pendirian parti itu jika mereka sedia memaafkan dan melupakan kesalahan yang didakwa dilakukan PAS, berkata: “Saya tidak mahu sentuh butiran atau sifatnya ketika ini, tetapi kami sokong idea pakatan besar.

“Ini untuk memastikan kita bukan sahaja dapat menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, tetapi juga bagi memastikan tidak akan ada Najib kedua di Malaysia.

“Ini hanya boleh dicapai jika ada reformasi pilihan raya dan institusi di negara ini. Itu adalah sesuatu yang semua parti pembangkang perlu rancang supaya pakatan besar dapat dibentuk.”

Gabungan sama pernah dibentuk pada pilihan raya umum lalu di mana PAS, DAP dan PKR bekerjasama untuk mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor, pada masa sama mengurangkan majoriti BN di Parlimen.

Formula itu terbukti berjaya sehinggalah perbezaan ideologi menyebabkan perpecahan antara PAS dan DAP serta Pakatan Rakyat terkubur.

Golongan progresif dalam PAS kemudiannya keluar parti dan membentuk Amanah yang kini bekerjasama dengan DAP dan PKR di bawah bendera Pakatan Harapan – FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s