Esok, Kes Salah Laku & Rasuah Guan Eng Disebut Di Mahkamah

lge-mahAIDCNews – 29/9/16 –Kes salah laku dan rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran, akan disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada esok, 30 September.

Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.

Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lim juga menghadapi pertuduhan lain yang berisiko kehilangan kehilangan status wakil rakyat dan jawatan Ketua Menteri jika didapati bersalah.

Pertuduhan lain yang dimaksudkan itu ialah dakwaan menghina mahkamah.

Peguam, M Visvanathan berkata, tidak menghormati pentadbiran keadilan adalah satu jenayah dan tiada undang-undang bertulis mengenai hukuman minimum mahupun maksimum.

“Mahkamah boleh mengenakan denda atau penjara atau melepaskan tertuduh dengan teguran, berdasarkan budi bicara mereka,” katanya kepada FMT.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika dia sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Peruntukan sama juga terkandung dalam undang-undang semua negeri.

“Lim mungkin hilang haknya sebagai ahli Parlimen dan adun jika mahkamah mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman berat,” katanya sebagai menjawab tindakan setiausaha agung DAP itu menghina mahkamah.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas Lim.

Peguam negara berkata, Lim mengeluarkan kenyataan media walaupun mengetahui tindakannya akan mengganggu pentadbiran keadilan, menghakis keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan menghina maruah serta integriti mahkamah di negara ini.

Adun Air Puteh itu mendakwa 2 tuduhan rasuah adalah “konspirasi” terhadapnya dan juga “direka-reka”.

Visvanathan berkata, dahulu ada 1 kes di mana bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong hilang kelayakan kerana menghina mahkamah, kira-kira 20 tahun lalu.

Pada 14 April 1995, Mahkamah Agung ketika itu menjatuhkan denda RM7,000 kepada Wee kerana melanggar perintah menghalangnya mencetak, mengedar atau menerbitkan sebarang dakwaan tidak wajar terhadap MBf Holdings dan anak syarikatnya.

Wee bertanding pada Pilihan Raya Umum 1995 dan memenangi kerusi Bukit Bintang atas tiket DAP, tetapi calon BN, Lee Chong Meng memfailkan bantahan.

Hakim pilihan raya, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim membatalkan kemenangan Wee, memandangkan tindakannya menghina mahkamah adalah satu kesalahan jenayah.

Ahmad Fairuz kemudiannya mengumumkan Lee dipilih sebagai ahli Parlimen Bukit Bintang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s