Keutamaan PAS Adalah Gagasan Sejahtera, Bukan PKR & PPBM -Tuan Ibrahim

AIDCNews – 05/10/16 – Keutamaan PAS buat masa kini adalah pakatannya bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dinamakan Gagasan Sejahtera dan bukannya parti-parti lain yang tidak termasuk dalam gagasan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, walaupun PAS masih bertahuluf dengan PKR, namun keutamaan parti Islam itu adalah Gagasan Sejahtera.

“PAS kini bersama Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan dan masih bertahaluf dengan PKR.

“Oleh itu, PAS akan mengutamakan Gagasan Sejahtera berbanding gabungan dengan parti-parti lain.

“Apa bentuk kerjasama baru dengan mana-mana parti baru mesti dapat diterima oleh parti dalam Gagasan Sejahtera sebagaimana yang telah dipersetujui dalam muafakat yang telah dimeterai.

“Oleh itu, sebarang ura-ura kerjasama PAS bersama mana-mana parti baru adalah tidak rasmi sehingga adanya kenyataan rasmi bersama Gagasan Sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa beliau yakin dapat menjadi “glue” (pengikat) di antara PAS dengan Pakatan Harapan dalam usaha memastikan pembangkang tidak terlibat dalam perlawanan 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Dalam satu ceramah bersama PAS, Muhyiddin juga turut meminta calon-calon PPBM diberi laluan di mana-mana kawasan PAS yang telah tewas kepada calon UMNO pada PRU lalu.

Tuan Ibrahim berkata PAS akan tetap mempertahankan semua kerusi yang dipertandingkan sebelum ini dengan kemampuan yang dimiliki oleh parti itu.

“Pintu PAS sentiasa terbuka dengan kerjasama dengan mana-mana parti baharu yang sudi bersama memperjuangkan matlamat yang selari dengan Gagasan Sejahtera dan membawa nilai tambah kepada semua parti di Gagasan Sejahtera dan juga rakyat dan bukan jenis mengambil kesempatan semata-mata.

“Setakat ini, PAS akan pertahankan kerusi yang menjadi tradisi parti, yang kebanyakannya bertembung dengan UMNO, dengan segala kemampuan yang ada.

“PAS akan terus menggerakkan jentera parti dengan kemampuan keikhlasan dan kesungguhan kerja ahli dan petugas parti,” katanya.

Tambah beliau, sepatutnya, semua parti-parti politik baharu menumpukan kepada gerak kerja untuk memperkasakan jentera parti dan bukannya berebut kerusi.

“Kewujudan pelbagai parti-parti baharu menjelang pilihan raya merupakan satu fenomena rancaknya sistem demokrasi dalam negara. Semuanya ingin bertanding di pilihan raya.

“Selain hala tuju dan matlamat penubuhan dan dasar parti, semua parti seharusnya fokus dalam menyediakan jentera parti terlebih dahulu sebagai strategi pilihan raya yang paling utama sebelum memikirkan soal kerusi.

“Keghairahan untuk bertanding tanpa didokongi oleh jentera dan petugas parti sendiri tidak akan mampu bertahan lama apatah lagi apabila ghairah untuk mendapatkan kerusi sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz menegaskan PAS tidak boleh dijadikan anak tangga kepada parti-parti lain untuk mencapai cita-cita mereka.

“PAS sedang menyeru kepada Gagasan Sejahtera. PAS sedang memimpin gerakan pembangkang dengan disiplin dan caranya. PAS membina tangga untuk rakyat sampai ke Putrajaya, bukan menjadi anak tangga kepada parti-parti lain.

“Berusaha mengajak PAS menukar langkah ini adalah sama seperti tindakan buruk bekas pemimpin PAS dulu (PAN hari ini) menyeru PAS mengubah hala tujunya. Sia-sia.

“Di Malaysia, selepas UMNO, PAS-lah pilihan utama rakyat. Kenali dan akui ini sebelum berurusan dengannya. Ahli dan penyokong PAS adalah amanah yang mesti dijaga oleh seluruh pemimpin PAS. Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia kental memikul amanah besar ini,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s