Benarkah Hanya Sebuah Kilang Sahaja Punca Loji Air Semenyih Ditutup ?

AIDCNews – 07/10/16 –Terdapat lebih daripada 200 kilang yang beroperasi di sepanjang jajaran Sungai Semenyih, namun 22 daripada kilang tersebut menghentikan operasi sebaik sahaja berlaku krisis air di empat daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang, dan Kuala Langat pada 22 Sept. lalu, kata Setiausaha Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Hamdan Abu.

“Terdapat lebih daripada 200 industri (kilang) yang berada di tebing sungai (Semenyih). Lebih kurang 20 atau 22 daripada industri itu beroperasi berasaskan cecair. Maknanya iar minyak dan seumpamanya.

“Saya difahamkan juga pada 23 haribulan (Sept) apabila loji (Semenyih) ditutup, semua 22 kilang yang beroperasi berasaskan cecair ini ditutup.

“Jadi persoalan kami, kenapa (22) kilang ini tutup. Kalau tidak bersalah, kenapa takut (dan) tutup (kilang). Sehingga ke hari ini pencemaran kali pertama itu, tidak lagi dibuktikan siapa (kilang mana yang) menjadi penyebabnya,”kata Hamdan.

Pada Selasa (4 Okt.), Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memantau sebuah kilang di Sungai Lalang, Semenyih yang disyaki terbabit dalam pencemaran sungai tersebut.

Azmin turut mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita premis dan semua peralatan kilang tersebut dan turut mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Hulu Langat untuk merampas tanah tersebut.

Mengulas tindakan Azmin itu, Hamdan berkata sepatutnya pihak kerajaan negeri bertindak lebih awal kerana bantahan-bantahan telah dibuat oleh penduduk sejak dari dahulu lagi.

Walau bagaimanapun, Hamdan berkata tindakan menutup sebuah kilang itu bukan jaminan terbaik untuk memastikan krisis air di empat zon itu tidak berulang lagi.

“Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak sama ada dia mahu atau tidak untuk menyelesaikan masalah ini.

“Apa yang saya nampak apabila konsesi air diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor (melalui Syarikat Air Selangor Sdn Bhd), keadaan bukan semakin baik, tetapi sebaliknya menjadi semakin kritikal.

“Jadi kunjungan Menteri Besar Selangor semalam (Selasa) di tempat ini, di mana dikatakan berlaku pencemaran, saya kira satu tindakan yang belum lagi dapat menyelesaikan masalah. Walaupun MB mendakwa dia dapat menyelesaikan masalah selepas lapan jam,”katanya.

Azmin dalam lawatannya Selasa lalu turut menuding jari ke arah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang didakwanya lambat bertindak ke atas sebuah kilang yang disyaki itu.

Menjawab kritikan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Azmin tidak sepatutnya menuding jari ke arah pihak lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.

Katanya, kilang berkenaan sudah ditutup dan barang yang terdapat di dalam kilang itu disita manakala kes disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Mengenai tindakan, kita serahkan kepada Peguam Negara tetapi yang menjadi persoalannya sekarang ialah kenapa kilang berkenaan tidak dirobohkan sebelum ini berikutan ia adalah kilang haram. Itu perkara asasnya.

“Mengapa ia tidak diroboh, sebaliknya dibenarkan beroperasi (sehingga menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih) dan mengakibatkan gangguan bekalan air yang serius,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam urusan kilang adalah Ean Yong Hian Wah (DAP) yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram.

junaidi

Pada 28 Sept. lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim membidas sikap kerajaan negeri yang didakwanya tidak serius menangani masalah pencemaran yang disebabkan kawasan perindustrian diwujudkan berhampiran kawasan berkenaan.

azmin

Walau bagaimanapun kritikan Irmohizam itu dinafikan Azmin dengan mendakwa kewujudan kilang haram di sepanjang Sungai Semenyih dan Sungai Langat bukan punca berlakunya­ pencemaran di kawasan sumber air di situ.

Sebaliknya, Azmin cuba mengaitkan pencemaran tersebut dengan elemen sabo­taj apabila menyatakan mahu bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan sedemikian.

“Kerajaan negeri telah me­ngambil langkah-langkah drastik sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan pencema­ran sungai tidak berlaku.

“Kita telah melihat semua jenis ak­tiviti di tebing-te­bing sungai dan melakukan pemutihan kawasan berkenaan supaya tiada industri bertapak di situ,” kata Azmin.

Loji Air Semenyih Ditutup : Azmin Perlu Beritahu Sebab Sebenar, Tidak Perlu Bermain Politik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s