Tiada Campur Tangan PMO Dalam Kes Liwat Anwar, Mahkamah Persekutuan Diberitahu

PUTRAJAYA- Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak campur tangan berhubung dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantunya.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa PMO langsung tidak mengetahui hasil keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Malah, katanya Mahkamah Persekutuan bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan.

“Semua kata-kata sindiran kononnya PMO mengetahui keputusan itu terlebih dahulu adalah salah, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Ini diperkukuhkan oleh hakikat bahawa pemohon (Anwar) telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, sebarang kata-kata sindiran selanjutnya adalah tidak benar, berniat buruk, tidak mempunyai sebarang merit dan perlu ditolak sama sekali.

Ahmad Kamal berhujah tidak ada komunikasi dibuat di antara PMO dan Mahkamah Persekutuan sama ada sebelum atau selepas keputusan itu disampaikan.

“Afidavit balasan yang diikrarkan oleh Datuk Seri Tengku Shariffuddin Tengku Ahmad selaku pengarah Bahagian Media di PMO menjelaskan bahawa adalah menjadi amalan biasa bagi PMO untuk mengeluarkan jawapan segera melalui kenyataan media mengenai perkara itu,”katanya.

Tengku Shariffuddin telah memfailkan afidavit itu untuk menjawab afidavit Anwar bagi menyokong permohonan semakannya terhadap sabitan liwat.

Ahmad Kamal berhujah demikian pada perbicaraan mendengar permohonan semakan Anwar untuk mengetepikan sabitan liwat dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.

Rayuan itu didengar oleh barisan panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Ahmad Kamal menjelaskan adalah menjadi amalan biasa bagi PMO untuk menyediakan dua kenyataan media kerana keputusan mahkamah membabitkan satu daripada dua kemungkinan iaitu dibebaskan atau disabitkan – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s