Ketua Pemuda PPBM Dikecam Kerana Biadap Hina Titah Sultan Johor

AIDCNews -07/11/16 – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didesak sebuah badan bukan kerajaan untuk segera memohon maaf secara terbuka kerana didakwa biadab dan tidak menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang sebarang perhimpunan jalanan haram daripada diadakan di negeri tersebut pada bulan ini.

Desakan itu dibuat oleh Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Johor yang mahukan Syed Saddiq memohon maaf kepada rakyat negeri ini selain menasihatkannya ‘belajar’ sejarah Johor dan ikrar taat setia Bangsa Johor.

“Sebagai rakyat Johor, kita perlu faham dan jelas konsep Bangsa Johor yang lebih menekankan permuafakatan, kesepakatan dan amalan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam apa jua bidang.

“Kenyataan biadap beliau seolah-olah ingin ajar baginda dan memperlihatkan Sultan Ibrahim tidak tahu langsung perundangan dan peraturan negara,” ujar Pengerusi Gapema Johor, Muhammad Suwarno dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas Syed Saddiq dalam satu kenyataan semalam mendakwa, hak untuk berdemonstrasi tanpa permit itu konon adalah hak asasi setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua sayap parti pembangkang itu juga mendakwa demonstrasi diiktiraf undang-undang antarabangsa iaitu Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

Syed Saddiq merujuk Himpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang, dekat sini apabila Sultan Johor dalam titahnya menegaskan tidak sesekali membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang demonstrasi di negeri ini.

Sultan Ibrahim bahkan menyeru rakyat agar menjauhi sebuah parti baharu yang dianggap sebagai virus dalam usaha memecahbelahkan perpaduan penduduk negeri itu dengan hasutan jahat untuk membenci kerajaan.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam kenyataannya masih mempertahankan tindakannya menulis surat terbuka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang membantah titah Sultan tersebut.

Tegasnya, pandangan yang dikemukakan berhubung larangan demonstrasi di Johor dilakukan atas dasar prinsip.

“Saya bukan penjilat atau pun penderhaka, saya berprinsip. Bila saya menulis surat memuji tindakan Sultan dan TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana lantang bersuara menentang rasuah, saya dipanggil penjilat.

“Malangnya, orang sama yang sebelum ini memanggil saya penjilat, sekarang ini memanggil saya penderhaka kerana berbeza pendapat dengan Tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis akan mengambil keterangannya dalam siasatan berhubung kandungan surat terbuka berkenaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Syed Saddiq sebelum ini memuat naik di laman Facebooknya, antara lain dikatakan mengkritik larangan mengadakan demonstrasi di Johor yang dititahkan Sultan Johor pada Khamis lepas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s