PAN Nafi Jadi Dalang Demonstrasi “Tolak PAS”

pasmaAIDCNews – 12/11/16 –Parti Amanah Negara (PAN) menafikan pihaknya menjadi dalang penganjuran demonstrasi ‘tolak PAS dalam Pakatan Harapan’ yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal IDCC Shah Alam, tempat berlangsungnya Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Penafian itu dibuat oleh Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir lapor portal Malaysia Dateline.

“Lebih 50 peserta terbabit dalam demonstrasi anjuran kumpulan yang diberi nama Kelab Penyokong Pakatan Harapan itu.

“Ungkapan tertera pada dua kain rentang itu adalah “Perkuatkan Pakatan Harapan tanpa PAS” serta “Sampai bila mahu tunggu PAS? Kami akar umbi sudah bosan!,” lapor portal itu.

Sebelum ini, satu notis yang dikeluarkan oleh Rozita bt Harun bagi pihak Sekretariat NGO Pro Pakatan Harapan (PH) meminta semua pihak hadir menyertai demonstrasi yang diadkan pagi ini.

Dalam demonstrasi itu, Othman bin Ismail, Presiden Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia (KPPHM) berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan berkenaan hasrat itu.

Ujarnya, pimpinan tertinggi Pakatan Harapan perlu menjauhi diri daripada PAS, dan tidak perlu lagi memujuk parti itu untuk berada bersama dalam Pakatan Harapan.

“Kami menanti kehadiran pimpinan tertinggi PH untuk menyampaikan hasrat ini,” katanya.

Memorandum Kelab Penyokong Pakatan Harapan adalah seperti berikut:

Kepada:

YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah bte Wan Ismail
Ketua Pembangkang/Presiden KEADILAN

YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung Dap

Ybhg Tuan Hj Muhammad bin Sabu
Presiden AMANAH

YB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin
Presiden PPBM

YB Dato’ Seri Mohd Shafie bin Apdal
Presiden Parti WARISAN Sabah

PERKUATKAN PAKATAN HARAPAN BERSAMA RAKAN SEKUTU TANPA PAS

1. Menyedari Malaysia berada di dalam situasi yang amat getir dari sudut ekonomi, integriti sosial dan politik, satu gerakan drastik wajib dilaksanakan bagi menggantikan parti yang memerintah Kerajaan Malaysia bagi menyelamatkan negara.

2. Bagi merealisasikan hasrat ini, gabungan yang kuat dari pihak Pembangkang amat di perlukan bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional. Namun hasrat ini agak terganggu apabila ada di kalangan pimpinan Pakatan Harapan serta rakan sekutu yang lain masih meyakini bahawa PAS akan bersama kita dalam gabungan pembangkang ini. PAS dari tindak tanduknya, jelas memperlihatkan tiada komitmen untuk menyambut pelawaan Pakatan Harapan untuk mengadakan kerjasama dengan mengemukakan berbagai alasan dan syarat.

3. Tindak tanduk PAS yang sedemikian rupa, ditambah pula dengan kegagalan kita memahami kehendak tersirat PAS itu, sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakyat akan iltizam Pembangkang untuk menumbangkan rejim yang memerintah. Sehubungan itu, kami mewakili sebahagian rakyat di akar umbi yang menaruh harapan kepada Pakatan Harapan mendesak dan menuntut;

a. Pakatan Harapan bersama PPBM dan WARISAN Sabah harus diperkuatkan dari segi persefahaman dan kerjasama di semua peringkat dan aspek.

b. Mewujudkan satu logo untuk digunapakai di dalam PRU14 akan datang bagi menzahirkan perpaduan dan kerjasama erat di kalangan Pembangkang.

c. Menyatakan dengan jelas secara muafakat bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah bakal Perdana Menteri sekiranya Pembangkang berjaya ke Putrajaya.

d. Pakatan Harapan, PPBM dan WARISAN Sabah, harus segera membuat keputusan untuk menghentikan sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAS atas faktor-faktor berikut:

(1) PAS seringkali bertentangan dengan prinsip Pembangkang yang lain, contohnya di dalam menangani isu Skandal 1MDB, Bajet yang dibentangkan oleh PM, Kempen BERSIH5 termasuk juga pendekatan PAS di dalam membawa usul RUU Akta 355, yang jelas menunjukkan PAS tidak menghormati Pembangkang yang lain.

(2) Tindak tanduk PAS yang sering menjadikan DAP dan Amanah sebagai sasaran mereka membuktikan PAS tidak berminat untuk berbaik dengan dua rakan di dalam Pakatan Harapan, sebaliknya semakin jelas PAS menunjukkan minat untuk membantu Umno/Bn.

(3) Tindakan PAS yang seringkali mengugut KEADILAN sekiranya DAP atau AMANAH bertanding di mana-mana Kerusi PAS, menunjukkan PAS juga bersedia untuk ‘bermusuh’ dengan KEADILAN sedangkan KEADILAN seringkali memujuk dan mengajak PAS untuk bersama di dalam rundingan.

(4) Sejarah lalu banyak mengajar kita memahami cara politik PAS, di mana parti ini seringkali melanggar persetujuan bersama di dalam pembahagian Kerusi, bahkan PAS tidak segan silu sanggup menfitnah calon-calon rakannya sendiri, contohnya dalam kes fitnah edar pil kuda yang sehingga kini gagal dibuktikan. PRU13 banyak menyaksikan kecurangan PAS sehingga mengakibatkan pertandingan 3 penjuru. Apakah jaminan PAS tidak akan melakukannya lagi?

(5) Tindakan Presiden PAS yang merendah-rendahkan bahkan ke tahap menghina Ketua Pembangkang sebelum ini yang kini berada di penjara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau berkunjung menemui Presiden PAS di dalam rundingan berkaitan calon MB Selangor. Tidak cukup dengan itu, Presiden KEADILAN juga diperlekehkan dengan menyatakan beliau tidak layak menjadi MB.

(6) Sikap PAS yang terus mempertahankan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah dipecat dari KEADILAN dan tidak membantah apabila kesemua Exco dari KEADILAN dan DAP disingkirkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, jelas menunjukkan PAS tiada sifat setiakawan.

(7) Paling jelas, Presiden PAS sendiri mengaku bahawa PAS bersedia untuk menjadi Penasihat rejim Umno/Bn. Pengakuan beliau ini sudah cukup untuk Pembangkang dari Pakatan Harapan, PPBM dan WARISAN Sabah untuk menolak PAS.

4. Kami melihat tindakan Pembangkang yang kami harapkan untuk membela nasib rakyat banyak terjejas dan melambatkan gerak kerja di akar umbi akibat sikap kita yang terlalu memberi muka dan ruang kepada PAS. Kita perlu kepada barisan Pembangkang yang bersatu hati dan sanggup susah dan senang bersama.

5. Sehubungan itu, kami merayu dan berharap agar Pakatan Harapan, PPBM dan WARISAN Sabah dapat menimbangkan desakan kami untuk memutuskan sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAS agar kita boleh seiring sejalan, melangkah lebih pantas ke hadapan dan mara menuju ke Purajaya tanpa gangguan lagi.

6. Kami juga mengakui bahawa tindakan kami ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pimpinan atau parti-parti politik serta mana-mana pihak yang berkepentingan. Tindakan ini adalah hasil dari dorongan dan kesedaran kami sendiri setelah melihat maklumbalas rakyat di akar umbi yang mahu kepada pakatan Pembangkang yang jujur dan kuat.

7. Segala perhatian dan pertimbangan semua pimpinan amat kami hargai. Sekian, terima kasih.

“ SELAMAT BERKONVENSYEN”

11 November 2016

ZANIRUN BABA
Pengerusi Sekretariat
NGO Pro Pakatan Harapan/Sayangi Pakatan Harapan

Turut Menyokong:

Othman bin Ismail
Presiden
Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia (KPPHM)

DESAK
PasMa
Jebonesta
SAMM
HB Bikers Club Malaysia
Sayangi Pakatan Harapan
Persatuan Pekerja Lembah Klang
KOBAT (Kor Bekas Angkatan Tentera)
Kelab Pendengar Radio D’Pedas FM
Kelab Pendengar Radio KOBAT FM
100 Facebookers/Bloggers

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s