Khalid : Azmin Berkerja Untuk Rakyat Selangor Atau Syarikat Kroni ?

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan Menteri Besar Selangor jika beliau mengutamakan kepentingan syarikat konsesi air lebih daripada hak rakyat, beliau akan dilihat ‘bekerja’ untuk syarikat berkenaan.

“Kita hendak perjuangkan rakyat Selangor. Jika kita beria-ia mempertahankan (syarikat) konsesi kena dapat duit lebih, bermakna kita bekerja dengan konsesi, bukan rakyat Selangor.

“Adakah itu yang hendak digambarkan? Janji kita adalah untuk jaga rakyat,” ujar mantan Menteri Besar yang juga ADUN Pelabuhan Klang itu.

Dalam wawancara eksklusif dengan Antarapos, Abdul Khalid mengakui beliau sangat sensitif apabila membicarakan penyusunan semula industri air di Selangor yang masih belum selesai.

‘Rasa terkilan’ itu semakin memuncak apabila Datuk Seri Mohamed Azmin masih gagal memuktamadkan rundingan dengan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) dengan tawaran yang munasabah.

“Oleh kerana itu, saya sangat sensitif tentang perkembangan industri air. Ini adalah usaha reformasi yang sangat penting, (untuk) kita pulangkan hak kepentingan rakyat kepada mereka.

“Dahulu kepentingan rakyat seperti air dan tenaga (elektrik) diswastakan. Hasilnya menampakkan rakyat tidak mendapat pulangan yang baik, sebab yang untung banyak adalah syarikat konsesi. Rakyat dibebankan harga tarif yang tinggi,” katanya.

Khalid juga terkilan dengan tawaran tinggi yang mahu dibayar oleh kerajaan negeri kepada SPLASH iaitu sebanyak RM2.7 bilion.

Mantan menteri besar itu tegas dengan pendiriannya bahawa SPLASH hanya layak ditawarkan sebanyak RM250.6 juta, dan menyifatkan sebarang tawaran yang melebihi jumlah itu ‘akan menindas hak rakyat’.

Ketika menjadi Menteri Besar, Khalid memulakan penyusunan semula industri air di Selangor melalui pendekatan yang holistik bertujuan ‘mengembalikan saham air kepada rakyat negeri ini’.

“Sebab itu saya nak kerajaan Selangor buktikan bahawa usaha yang dijalankan kepada rakyat negeri ini adalah usaha yang terbaik. Maknanya, dengan harga yang lebih murah.

“Jika kerajaan negeri dapat tawaran kurang RM9.65 bilion (jumlah keseluruhan pengambilalihan) atau harga yang kita tawarkan kepada SPLASH mengikut tatacara yang kita lakukan, saya sangat menyokong.

“Namun jika saya tahu ura-ura mereka hendak naikkan, saya tak akan sokong. Sebab saya bekerja untuk rakyat Selangor, bukan untuk pihak konsesi kerana mereka sudah mendapat gaji yang tinggi,” tegas Khalid lagi.

Khalid sewaktu memimpin Selangor menawarkan pengambilalihan ekuiti dan liabiliti keempat-empat syarikat konsesi berkenaan berjumlah RM9.65 bilion.

Sebelum Khalid meletak jawatan beliau berjaya mengambil alih tiga syarikat berkenaan kecuali SPLASH yang dikatakan tidak bersetuju dengan tawarannya.

Pada 12 September 2014, Khalid membuat tawaran terakhir dengan meletakkan RM 250.6 juta untuk mengambil alih ekuiti SPLASH.

Nilai itu ditentukan menerusi kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan pulangan 12% setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana dividen yang telah dibayar (12% ROE) selepas kerajaan negeri meneliti terma yang dinyatakan dalam Perjanjian Penswastaan air, yang ditandatangani oleh semua syarikat konsesi termasuk SPLASH.

Namun Azmin mendakwa Khalid ‘menyembunyikan nilai tawaran sebenar berjumlah RM2.975 bilion’ yang dibuatnya kepada SPLASH.

Khalid menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa tawaran berjumlah RM2.975 bilion kepada SPLASH itu dibuat pada 25 Jun 2009 yang merangkumi ekuiti berjumlah RM1.579 bilion dan liabiliti RM1.396 bilion.

Tawaran berkenaan, kata Khalid, dibuat berdasarkan prinsip ‘all or nothing’, bermakna ia hanya disempurnakan jika keempat-empat pemegang konsesi menerima tawaran tersebut.

Ia terbatal selepas dua daripada syarikat konsesi iaitu SYABAS dan Puncak Niaga menolak tawaran kerajaan negeri pada ketika itu – AP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s