Politik DAP & Masa Depan

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff – 2016 adalah tahun malang bagi DAP. Ia bermula seawal Januari lagi dengan pendedahan negatif badan pemikir Kerajaan Selangor yang dikuasai PKR, Institut Darul Ehsan (IDE), ke atasnya.

Timbalan Pengerusi IDE, Datuk Profesor Mohammad Redzuan Othman, mengumumkan dapatan kaji selidik IDE antara 13 hingga 15 November 2015 bahawa 72 peratus daripada 1,716 responden di Selangor bersetuju DAP adalah parti perkauman manakala 64 peratus bersetuju DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam.

Ini tamparan hebat kepada usaha DAP menarik sokongan Melayu kepadanya. Malang menimpa DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei bila matlamat untuk memenangi 20 ke 22 kerusi, selain mengharapkan PKR memenangi 6 ke 8 kerusi, bagi membolehkan majoriti 2/3 BN dinafikan berkecai.

Buat kali pertama DAP meletakkan 16 Dayak selain 14 Cina dan 1 Melayu-Melanau, tetapi bukan setakat gagal meluaskan pengaruh ke kawasan Dayak, DAP juga gagal mempertahankan 12 kerusi dimenangi dalam PRN 2011. DAP hanya menang 7 manakala PKR menang 3, sekali gus melenyapkan impian besar DAP untuk menguasai Sarawak dalam PRN 2021.

Malang berganda menimpa DAP bila Setiausaha Agungnya merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas dua atas tuduhan rasuah pada 30 Jun. 2016 berakhir dengan penetapan tarikh perbicaraan beliau, iaitu 27 hingga 31 Mac; 10 hingga 14 dan 24 hingga 25 April; 15 hingga 19 dan 29 Mei hingga 2 Jun; 13 hingga 16 Jun dan 17 hingga 21 Julai depan.

Perbicaraan ini menjadikan 2017 tahun getir bagi DAP kerana reputasi Guan Eng dan kredibiliti DAP semestinya akan terjejas teruk oleh pelbagai pendedahan pihak pendakwa melalui lebih 60 saksinya.

Hubungan DAP dan PKR, rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sejak September 2015, bukanlah baik. Di Selangor, tindakan PKR mengekalkan PAS, yang berada di luar PH, dalam kerajaan negeri menggelisahkan DAP.

Di Pulau Pinang, tindakan 5 ADUN PKR bersikap berkecuali ke atas usul BN mengenai projek penambakan laut dalam sidang DUN pada November 2015 menyebabkan Guan Eng menamatkan khidmat 2 ADUN dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada Februari 2016.

Bila DAP mahu mengadakan PRN mengejut di Pulau Pinang pada Julai 2016, PKR tidak bersetuju. Dalam konteks beginilah tindakan Guan Eng melantik Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri pada 4 Januari lalu perlu dilihat.

Dinyatakan bahawa, selain merapatkan hubungan PKR dan DAP, ia bertujuan meningkatkan sokongan Melayu kepada PH di Pulau Pinang, khususnya untuk merampas 10 DUN bukan milik PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Disebutkan tindakan PAS melantik Saifuddin sebagai Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali di Kelantan antara 2004 dan 2007 sebagai satu rasionalnya. Begitupun, Guan Eng tersilap perhitungan dengan melantik Saifuddin.

Saifuddin, walaupun antara pengasas PKR, bukanlah tokoh berpengaruh. Jawatan beliau dalam parti selama ini adalah bertaraf lantikan, termasuklah Pengarah Strategi pada Mei 2007, Setiausaha Agung pada Januari 2010, Pengarah Pilihan Raya (Bersama) pada Oktober 2014 dan Setiausaha Agung pada November 2016.

Kedua-dua perlantikan beliau sebagai Setiausaha Agung PKR pula adalah lebih sebagai “pak sanggup” yang berpunca perletakan jawatan Datuk Salehuddin Hashim dan Rafizi Ramli sahaja.

Ketidakpopularan Saifuddin di kalangan akar umbi PKR jelas terbukti bila sewaktu menyandang jawatan Setiausaha Agung PKR sekalipun beliau masih kalah teruk di tangan Datuk Seri Azmin Ali dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan PKR 2014.

Azmin memperolehi 22,562 undi sementara Saifuddin hanya memperolehi 10,743 undi, jauh ketinggalan di belakang bukan sahaja Azmin tetapi juga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terkeluar daripada saingan bagi merebut jawatan tersebut selepas dipecat dari PKR ekoran krisis Menteri Besar Selangor.

Jika Guan Eng mengharapkan DAP akan menguasai PKR melalui Saifuddin maka ini sukar untuk berlaku. Jangkaan bahawa perlantikan Saifuddin akan membolehkan DAP menguasai PKR Pulau Pinang juga kelihatan agak tersasar.

PKR Pulau Pinang, seperti diketahui, adalah diketuai oleh penyokong kuat Azmin, Datuk Mansor Othman, dan dikuasai hampir sepenuhnya oleh penyokong Azmin, termasuk Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin.

Sukar ditelah yang Saifuddin akan mendapat laluan mudah, walaupun jika beliau dibekalkan dengan kuasa mengagihkan dana sekalipun. Perlantikan Saifuddin juga tidak akan membantu PH Pulau Pinang merampas 10 DUN bukan miliknya.

Jika beliau strategis yang bagus, tentulah beliau mampu menang dalam siri pilihan raya yang disertainya, tetapi rekod membuktikan beliau kalah teruk di kerusi P17 Padang Serai pada PRU 1999 dan PRU 2004 selain kalah di kerusi P18 Kulim – Bandar Baharu pada PRU 2013.

Kemenangan beliau di P29 Machang dan calon PR lain di Kelantan pada PRU 2008 pula adalah fenomena nasional. Perlantikannya di Pejabat Menteri Besar Selangor oleh PKR sendiri pada Julai 2013 sekalipun gagal.

Di sebalik memaparkan imej positif, perlantikan ini akan lebih memberikan persepsi negatif kepada DAP sebagai parti yang cuba menguasai dan memecahbelahkan parti lain.

Sesungguhnya tidak banyak yang boleh dilakukan oleh DAP bagi meningkatkan imejnya di Pulau Pinang sekarang. Bukan sahaja pengaruhnya di kalangan Melayu sukar dipulihkan, tetapi sokongan bukan Melayu kepadanya juga bakal terjejas teruk, teruatamanya oleh kes rasuah Guan Eng. 2017 adalah tahun yang suram buat DAP.

Bukan setakat Saifuddin, Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak mampu menyelamatkan DAP.

*Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff sekarang merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok,Kedah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s