Tun Mahathir & Muhyiddin Tidak Hadir Pertemuan Dengan PAS Esok

AIDCNews -31/01/17 –Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir dalam pertemuan bersama pimpinan PAS yang dijadualkan esok dan parti itu diwakili oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku ketua delegasi.

Walau bagaimana pun PPBM menafikan ketidakhadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin bukan menunjukkan partinya tidak bersungguh-sungguh untuk mengadakan rundingan dengan PAS.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman secara berseloroh juga berkata PAS selama ini turut mewakilkan hanya Timbalan Presiden mereka, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam siri pertemuan sebelum ini.

“Di sebelah sana pun diketuai oleh Timbalan (Presiden), jadi kita pun diketuai Timbalan (Presiden),” katanya kepada Antarapos.

Pertemuan PPBM-PAS sebelum ini dijadualkan pada Khamis, namun dipercepatkan pada esok.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Hamidah turut menyeru agar PAS mengambil pendekatan realistik demi kesatuan pembangkang.

“Tentulah harapan kita supaya kita semua bersatu, sekiranya kita berpecah maka ini buka ruang kepada Umno-BN untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“Sedangkan setahu saya sejak penubuhannya, PAS telah menerajui penentangan terhadap Umno, tetapi takkan dalam keadaan Umno yang teruk sekarang, PAS tidak mahu bersama untuk meneruskan perjuangan yang ia dah buat sejak puluhan tahun,” katanya lagi.

Dalam pada itu Hamidah turut senada dengan Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail, bahawa parti akan tetap meneruskan pertemuan dengan PAS meskipun akar umbi marah ekoran parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mengkritik Pengerusi mereka, Dr Mahathir.

“Kalau kita lihat di media sosial pun kita boleh tahu memang ada rungutan, sudah tentu bila ada pimpinan PAS buat kritikan kepada Tun Mahathir ia mengguris hati ahli, malah ramai terguris.

“Tapi seperti yang saya katakan, kita lihat ke hadapan, kita fikirkan sesuatu yang lebih besar dengan harapan rundingan kita akan membuahkan hasil yang positif demi objektif yang lebih besar demi negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata perbincangan PAS-PPBM sebelum ini berjalan baik, namun ia terbantut dengan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir.

“Perbincangan antara delegasi PAS dan PPBM sebenarnya lancar, ada beberapa kata sepakat, contohnya kita beritahu mereka bahawa tak akan sesekali bersama DAP dan Amanah. Mereka faham.

“Tetapi apa yang berlaku di luar pula berbeza. Sehingga Dr Mahathir sebut nak masuk PH untuk bersama DAP dan Amanah, kemudian tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri. Itu semua tidak termasuk dalam perbincangan bersama.

“Maka itu yang menyebabkan hubungan itu tak lancar, sedangkan perbincangan yang diadakan (sebelum ini) licin,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Zuhdi mengulangi rundingan yang diketuai Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebelum ini menerima dengan baik ‘syarat’ kerjasama dengan PAS tidak harus melibatkan DAP dan Amanah.

Syarat itu dikukuhkan lagi dengan hasil kajian yang dijalankan PAS terhadap penerimaan orang ramai sekiranya rundingan itu membuat pusingan-U dan bekerjasama dengan dua parti musuh.

“Kita hendak maklumkan kepada PPBM, beberapa kajian yang kita buat tentang potensi kerjasama untuk menjana sokongan pengundi Melayu, kesannya jika PPBM bersama DAP… Kita sudah bentang kajian ini kepada PPBM.

“Dan saya nampak sebelum ini PPBM agak bersetuju apa yang kita sebut dan beri cadangan. Kemudian ada campur tangan daripada pihak lain, khususnya Dr Mahathir,” katanya lagi.

PAS sebelum ini menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap pendedahan pakatan sulit yang diadakan antara Dr Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam mengisi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri, yang hanya melibatkan dua parti itu sahaja.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa akan menjadi perdana menteri dan Kit Siang pula sebagai timbalannya menerusi pakatan sulit itu, kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu PAS dan PPBM akan mengadakan pertemuan ‘kata sepakat’ yang akan memutuskan status kerjasama dua parti itu pada Khamis ini.

Mukhriz akan mengetuai delegasi PPBM, manakala PAS akan dipimpin oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Peranan Mukhriz itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya apatah lagi sebelum ini rundingan tersebut sering diketuai oleh Muhyiddin.

Zuhdi, ketika diajukan hal ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Itu saya tak parti. Sepatutnya Muhyiddin yang perlu ketuai pertemuan itu. Mukhriz ada sekali, tetapi kena atas nama ,” tambah Zuhdi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s