PRK Tanjong Datu : BN Menang Majoriti Lebih Besar, Jamilah Teruskan Perjuangan Tok Nan

LUNDU– Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu hari ini dengan majoriti undi lebih besar daripada yang dimenanginya pada pilihan raya negeri Mei lepas.

Calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput yang memperoleh 108 undi dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit (130 undi) dalam pertandingan tiga penjuru.

Berbekalkan ‘Semangat Adenan’, Jamilah, yang merupakan balu Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, menjadi pilihan kepada sejumlah 6,891 daripada keseluruhan 9,959 pengundi Tanjong Datu yang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kerusi DUN itu.

Keputusan, yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hamsein Atar di Dewan Masyarakat Lundu pada 7.50 malam, menyaksikan Jamilah mencatat kemenangan bergaya, memperoleh lebihan 551 undi mengatasi majoriti yang diraih Allahyarham suaminya.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, Adenan, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Keputusan pilihan raya kecil Tanjong Datu hari ini menyaksikan kedua-dua calon PBDS Baru dan Star hilang deposit.

Kemenangan bergaya Jamilah, 61, ternyata memenuhi hasrat pemimpin parti BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan pemimpin-pemimpin lain.

Mengulas kemenangan besar Jamilah, Perdana Menteri berkata Jamilah merupakan pilihan terbaik dalam meneruskan legasi pembangunan di kawasan itu yang dibawa oleh Adenan.

Abang Johari, yang berada di kediaman Jamilah di Damai Jaya, Santubong, semasa mengulas kemenangan itu berkata majoriti lebih besar yang diperoleh Jamilah adalah di luar jangkaan dan sangat manis kerana sasaran untuk kedua-dua calon pembangkang hilang wang deposit tercapai.

Katanya kemenangan itu juga merupakan sokongan rakyat terhadap jasa dan perjuangan Adenan.

Jamilah, yang masih berada dalam tempoh idah, tidak dapat hadir sendiri berkempen dan sebaliknya bergantung kepada anak-anak dan jentera pilihan raya parti. Namun, surat terbukanya kepada para pengundi Tanjong Datu Khamis lepas, Jamilah melahirkan keazaman menyatakan kesediaannya memikul amanah sebagai wakil rakyat.

Beliau, yang berada di kediamannya semasa keputusan PRK itu diumumkan, dalam reaksinya berjanji akan bekerja keras sebagai wakil rakyat dan menunaikan segala janji yang dibuat semasa kempen PRK itu.

Menyifatkan kemenangan besarnya itu sebagai hadiah ulang tahun ke-37 perkahwinan mereka pada 14 Feb dan hari jadi arwah suaminya pada 27 Jan lalu, Jamilah mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan seluruh rakyat DUN Tanjong Datu kerana memilihnya untuk meneruskan perjuangan dan legasi pembangunan yang dilakukan Adenan.

Azizul Annuar, anak bongsu Jamilah dan Adenan, yang bersyukur dengan kemenangan ibunya menyifatkan pilihan pengundi Tanjong Datu itu sebagai mengenang jasa bapanya dan berjanji akan terus turun padang membantu Jamilah menunaikan tanggungjawabnya.

Kemenangan Jamilah ternyata menepati ramalan bahawa BN mengekalkan kubu Tanjong Datu dan kemampuan beliau menyambung perjuangan dan meneruskan legasi pembangunan yang dilakukan Tok Nan, ketua menteri yang disayangi rakyat Sarawak.– BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s