PKR Kritik Manifesto PAS Terengganu

KUALA TERENGGANU – Manifesto awal Pas Terengganu yang diumumkan di Kampung Raja, Besut minggu lepas disifatkan seolah-olah menyamai janji Pas untuk melunaskan janji kepada rakyat pada PRU 1999.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, lima manifesto tersebut juga lebih bersifat fokus kecil dan tertumpu penyelesaian jangka pendek dan berpendapat, ia boleh diperbaiki ke arah mewujudkan skop lebih besar selari dengan status Terengganu sebagai sebuah negeri yang pernah menjadi negeri terkaya dalam negara sebelum ini.

“Saya harap pimpinan Pas akan mengeluarkan satu manifesto yang lebih besar skopnya daripada apa yang telah diumumkan sebab lima perkara yang diumumkan nampaknya seolah-olah manifesto yang diletak semula untuk menunjukkan kesungguhan Pas untuk laksanakan janji tahun 1999 dulu.

“Kalau mengambil kira keperluan baru di zaman tahun 2017-2027, saya rasa keperluan di negeri Terengganu adalah berbeza,” katanya, di sini.

Pas Terengganu mendedahkan lima manifesto awal dalam usaha menawan negeri itu pada PRU14 antaranya pemberian satu lot tapak rumah bagi setiap rakyat, pemberian geran tanah kekal, caj percuma rawatan di wad kelas tiga di semua hospital kerajaan, peruntukkan RM300 untuk golongan muda mendapatkan lesen motosikal dan karnival kahwin kali pertama secara percuma di setiap Dun.

Azan bagaimanapun tidak menolak lima manifesto awal itu berkemungkinan strategi Pas untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan rakyat, namun menggambarkan tindakan itu tidak sesuai berikutan Pas pernah menjadi kerajaan yang sudah tentu arif terhadap keperluan dan kehendak rakyat.

“Parti-parti yang lain itu bolehlah kata menunggu respons daripada awam untuk membentuk manifesto tetapi parti-parti besar tidak perlu menunggu pandangan orang ramai terutama yang pernah jadi kerajaan atau kerajaan sekarang.

“BN adalah kerajaan, sepatutnya tidak perlu menunggu respons awam dan Pas yang pernah jadi kerajaan sepatutnya ada mekanisme untuk memahaminya,” katanya

Mengulas lanjut, Azan yang juga Adun Bandar bagaimanapun turut mencadangkan kerajaan mahupun pembangkang menawarkan manifesto yang boleh memberi penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah yang sedang berkembang di negeri ini sejak 10 tahun lalu.

Paling mustahak katanya, semua pihak perlu melihat kepada kedudukan ekonomi secara menyeluruh apatah lagi dengan peratusan agak tinggi rakyat Terengganu bermasalah dalam pengurusan kewangan rumah tangga.

Beliau berkata, keadaan itu turut mempengaruhi masalah kuasa beli sangat rendah sehingga produk di negeri ini tidak dapat dijual dengan baik dengan kadar untung yang baik, selain aktiviti harian yang turut menekan harga menjadi mahal, kos perkhidmatan meningkat, tiada mekanisme kawalan hartanah dan jurang pengangguran semakin besar.

“Sehingga kini tidak nampak ada satu pelan penyelesaian jangka panjang. Sekiranya kita tidak mengemukakan pelan penyelesaian jangka panjang, kita bimbang keluk (carta aliran) ekonomi di Terengganu melengkung ke bawah. Sekarang ini, memang sedang melengkung ke bawah. Kita bimbang perkara ini makin menjunam,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu turut berpunca dari sudut lokasi berikutan Terengganu berada di tengah-tengah antara Kelantan dan Pahang yang menyebabkannya ‘terperangkap’ dalam pembangunan pesat di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau sehubungan itu turut mencadangkan manifesto sepatutnya menjurus ke arah menyelesaikan ‘perangkap’ terbabit sambil memberitahu pihaknya akan melancarkan manifesto bersama melibatkan parti-parti Pakatan Harapan Terengganu dan juga Bersatu Terengganu secepat mungkin – SH

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s