RUU 355: Luahan Rafizi Dihujani Kutukan Netizen

IBARAT lain diharap, lain pula yang dapat… Kuasa rakyat yang sering dijaja PKR nampaknya terkena batang hidung pemimpin mereka sendiri, menurut laporan portal berita AgendaDaily.

Situasi lucu itu meletus menjadi tular apabila akaun Facebook Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan dihujani kecaman dan kritikan ekoran tindak tanduknya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Niat asalnya, Rafizi dipercayai hendak meluahkan ketidakpuasan hati dengan melahirkan perasaan kecewa ‘konon’ tidak diberi peluang untuk berbahas RUU 355 namun ia bertukar menerima kecaman negatif pelayar laman sosial.

Netizen mengambil peluang itu mengutuk Rafizi secara terbuka berbanding topik sebenarnya mengenai penundaan perbahasan RUU 355 atau Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rafizi seolah-olah tidak faham dengan penggunaan ayat digunakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa sesi perbahasan RUU 355 ‘ditangguhkan’ kepada persidangan pada Julai nanti.

Malahan semua media tempatan melaporkan perkara yang sama termasuk visual ucapan penangguhan diumumkan jelas oleh Pandikar sendiri, bukannya ‘disekat’ terus seperti didakwa Rafizi menerusi laman Facebooknya.

“Saya dan beberapa ahli parlimen pembangkang yang tidak diberi peluang untuk berbahas di Sidang Parlimen hari ini (Khamis) selepas pembentangan Pindaan Akta 355 akan menyambung perbincangan tentang topik ini.

“Ia diadakan dalam suatu Sidang Parlimen Khas Pakatan Harapan pada hari Isnin, 10 April nanti. Walaupun suara kami telah disekat di Parlimen, saya pasti rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan kepada kami.

“Mereka ingin dengar pendapat ahli-ahli Parlimen tentang pindaan Akta 355 ini. Oleh itu, sila saksikan ini secara langsung dari laman Facebook saya pukul 8.30 malam pada 10 April 2017,” katanya menerusi status Facebooknya.

Namun muat naik Rafizi itu menerima kecaman hebat netizen yang merasakan beliau seperti ‘meroyan’ setelah sesi perbahasan RUU 355 ditangguh walhal peluang membahaskan akta tersebut boleh dilakukan pada sesi akan datang.

“Aik… ditangguh kata disekat? YB tak faham bahasa, ke tak boleh nak beza sekat dengan ditangguh? YB ada dalam dewan tadi? YB tak tengok ke berapa ramai geng YB diberi laluan kacau Ahli Parlimen Marang buat pembentangan.

“Ia sehingga lewat hampir 1 jam. Kalau suara YB dan geng-geng disekat, jangan harap Speaker hendak bagi laluan. Ke YB tidur sebelum pembentangan bermula tadi,” kata seorang pengguna Facebook bernama Mohd. Luqman.

“Kau (Rafizi) ni memang jenis pemikiran liberal ke. Semua benda nak dipolitikkan. RUU 355 ini untuk umat Islam, tak boleh ke kau sokong? Ke kau ni Islam hanya pada nama sahaja? Tak ada pegang hukum hakam al-Quran.

“Aku lebih hormat Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam hal ini berbanding kau yang hanya khadam kuli abadi DAP. Dasar pondan tak ada telur,” kata seorang lagi pengguna Facebook yang bernama Wan Hafizie Wan Harun.

“Dulu masa kerajaan (Pusat) tidak jadi ambil alih (RUU 355), macai Nuar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertepuk tangan, kabo (beritahu) PAS sudah kena ‘kencing’ (tipu) dengan kerajaan, Barisan Nasional (BN) pengecut.

“Sekarang kerajaan (Persekutuan) sudah buktikan, siapakah sebenarnya yang takut sangat dengan RUU 355 ini,” tulis seorang lagi pengguna Facebook yang hanya menggunakan nama Mohd. Aznin Fazli.

“Kalau hendak bahas dan sokong RUU 355, its okay Encik Rafizi. Tapi kalau hendak persoalkan kenapa undang-undang Islam mahu dilaksanakan, rasanya Encik Rafizi sudah tidak layak jadi wakil rakyat beragama Islam lagi.

“RUU 355 bukan pasal politik, itu hal agama. Kalau rasa diri itu Islam, mesti wajib sokong apa yang Islam laksanakan, kalau masih rasa diri itu masih Islam. #ruu355bukanhalpolitik,” kata pengguna Facebook, Idham Aries.

Pada hari terakhir mesyuarat pertama sidang Dewan Rakyat, Pandikar memutuskan penangguhan dibuat kira-kira jam 4 petang selepas mendengar ucapan sokongan daripada Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).

Bagaimanapun tindakan Speaker itu telah mendapat bantahan keras daripada beberapa anggota Parlimen pembangkang Pakatan Harapan kerana tidak diberi peluang untuk membahaskan usul persendirian berkenaan.

Ahli-ahli Parlimen tersebut malah bertindak amat biadab apabila bangun dan melaungkan ‘Ini tidak adil’ dan ‘Pengecut!’, tetapi Pandikar tidak mengendahkannya sebelum bangun meninggalkan persidangan berkenaan.

Selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman membacakan penangguhan sidang berkenaan sekali gus menyaksikan beberapa lagi rang undang-undang lain juga dibawa ke sesi yang akan datang.

Rafizi bersama beberapa wakil pembangkang lain ‘menyerbu’ ruang sidang media di Parlimen untuk meluahkan ketidakpuasanhati terhadap keputusan Pandikar, sehingga hilang hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat itu.

“Selama ini, kami menghormati segala keputusan yang dibuat oleh beliau (Pandikar). Tetapi kali ini (keputusan tangguh) telah membuatkan kami hilang hormat kepada beliau,” tegas Rafizi dengan nada amat yakin.

Antara yang hadir pada sidang media itu ialah, Khalid Samad (PAN – Shah Alam), Lim Kit Siang (DAP – Gelang Patah), Gobind Singh Deo (DAP – Puchong) dan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PAN – Kuala Terengganu).

Sebagai umat Islam, Rafizi perlu malu apabila beberapa Ahli Parlimen daripada DAP dan PKR cuba menghalang pindaan RUU 355 dibentangkan dengan bangkit pelbagai perkara remeh kepada Pandikar sebelum dibacakan.

Tindakan ahli-ahli Parlimen itu telah melengahkan masa kira-kira 35 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang juga Presiden PAS dapat membentangkan usul atas sifat rang undang-undang persendirian.

‘Gangguan’ dimulakan Kit Siang mempersoalkan cadangan usul rang undang-undang yang pernah beliau failkan sebelum ini mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis telah ditolak Dewan Rakyat.

Ia berterusan lagi apabila Gobind pula bangun membangkitkan bahawa terdapat tuntutan mahkamah untuk menyekat usul persendirian dibawakan Abdul Hadi itu. Turut bangun ialah Lee Boon Chye (PKR- Gopeng).

Dia mempersoalkan mengapa usul Abdul Hadi diberi keutamaan berbanding usul pembangkang lain. Kit Siang yang juga Penasihat DAP sekali lagi bangun membangkitkan mengenai keputusan Kabinet berhubung RUU 355.

Kononnya usul persendirian itu tidak mendapat persetujuan pihak MCA dan MIC. Tuduhan itu menimbulkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen daripada BN antaranya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN – Ba­ling).

Mereka menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen daripada DAP dan PKR yang terlibat sengaja membangkitkan pelbagai perkara kecil sebagai melengahkan masa untuk menggagalkan pembentangan RUU 355.

Pandikar kemudian menegur sikap Kit Siang supaya tidak membuat provokasi dan beliau berhak mengarahkan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mendengar arahannya untuk keluar sahaja daripada Dewan Rakyat.

“Hal berkaitan politik bawalah di luar sana, bukan dalam Dewan Rakyat ini, kerana kita mempunyai Peraturan Mesyuarat. Siapa yang berdiri lagi, saya berhak mengarahkan keluar,” tegas beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Advertisements

One thought on “RUU 355: Luahan Rafizi Dihujani Kutukan Netizen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s