PAS Lebih Peka Tanpa Golongan Erdogan

Dr Kamarul Zaman Yusoff – Sejak berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor pada 2-6 Jun 2015 yang menyaksikan cabaran golongan Erdogan ke atas semua jawatan penting dalam PAS berakhir dengan pembersihan mereka dari tampuk kepimpinan PAS, banyak yang telah berlaku di dalam PAS.

Seperti diramalkan, hampir semua golongan Erdogan yang kalah teruk ini keluar dari PAS dan membawa lari enam kerusi Parlimen membabitkan Kuala Krai, Kuala Terengganu, Parit Buntar, Shah Alam, Kota Raja dan Sepang ke dalam parti baru mereka, Parti Amanah Negara. Satu lagi kerusi Parlimen, iaitu Tumpat, pula dibawa lari ke PKR.

Kini dengan berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63 di Kota Sarang Semut pada 29 April-1 Mei ini, sekali lagi pemilihan parti berlangsung. Bagaimanapun, jelas bahawa PAS semenjak terpelantingnya golongan Erdogan adalah lebih padu dan mantap, di mana semua jawatan utama di dalam Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Malaysia dimenangi tanpa bertanding.

Begitu juga dengan dua jawatan utama di dalam PAS Pusat, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden PAS, yang turut dimenangi tanpa bertanding meninggalkan hanya jawatan Naib Presiden PAS sahaja yang mendapat saingan.

Berdasarkan rekod Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Bukit Gantang, mendapat undi terbanyak untuk jawatan Naib Presiden PAS dengan 896 undi, diikuti Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang memperolehi 710 undi dan Ahli EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, yang memperolehi 672 undi.

Dalam pemilihan kali ini, turut menawarkan diri adalah Ahli Parlimen Temerloh merangkap Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, yang merupakan pemegang jawatan Ketua Pemuda PAS selama dua sesi, mulai dari 2009 hingga ke 2013.

Cabaran Nasruddin tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana tradisi mutakhir PAS adalah bekas Ketua Pemuda PAS akan menang bila bertanding jawatan Naib Presiden PAS dan ini terlihat di dalam kejayaan dua bekas Ketua Pemuda PAS, iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, menjadi Naib Presiden PAS sebelum ini. Kepopularan Nasruddin di dalam PAS juga terbukti bila beliau mendapat undi tertinggi, iaitu 782 undi, bersama-sama Dr Riduan Mohd Noor di dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61, apa lagi dengan jawatan beliau selaku Ketua Penerangan PAS.

Usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sudah tentu akan bergema di dalam muktamar ini. Seperti usul memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61, isu membabitkan PKR juga bermula dari Muktamar Dewan Ulamak. Usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang diluluskan oleh Muktamar Dewan Ulamak dan Muktamar Dewan Pemuda ini, bersama-sama usul bernada sama dari banyak PAS Kawasan seluruh negara tentulah tidak boleh diketepikan kerana ia merupakan suara akar umbi yang sangat kuat.

Begitu banyak PAS Kawasan mengemukakan usul sama adalah catatan sejarah dalam PAS, malah bilangannya dikatakan lebih banyak jika tidak kerana masalah keterlewatan sesetengah PAS Kawasan menghantarnya.

Seperti yang telah pernah dihuraikan, tahaluf siyasi antara PKR dan PAS memang tidak boleh dipertahankan lagi kerana terlalu banyak perlanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan oleh PKR. Bagaimanapun, pemutusan hubungan di peringkat parti antara PAS dan PKR ini, yang perlu melalui Majlis Syura Ulamak dahulu, perlu dibezakan daripada pemutusan hubungan di peringkat kerajaan. Sepertimana pemutusan hubungan antara PAS dan DAP tidak menjejaskan kedudukan PAS dalam Kerajaan Selangor yang diasaskan kepada mandat bersama rakyat, begitulah juga keadaannya bila hubungan antara PAS dan PKR terputus.

Turut mencuri perhatian ialah ketetapan Muktamar Dewan Ulamak supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mensyaratkan supaya jawatan Perdana Menteri hanya diisi oleh orang-orang Melayu Islam. Ketetapan ini sangat menarik memandangkan saya sendiri baru sahaja mendedahkan rakaman ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di Singapura pada 10 Disember 2014 yang menyatakan pengharapan beliau agar Perlembagaan Persekutuan sedia ada kekal seperti sekarang kerana jika ia adalah seperti sekarang maka orang-orang bukan Melayu bukan Islam berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya, isu jawatan Perdana Menteri dari kalangan orang-orang Melayu Islam ini telah beberapa kali diperkatakan oleh ahli-ahli akademik. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, contohnya, mencadangkan supaya Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan pra-syarat Melayu dalam menjawat jawatan Perdana Menteri seperti yang terdapat dalam undang-undang tubuh sembilan negeri Melayu kerana “hanya orang Melayu/Islam sahaja yang akan menjaga agama Islam di negara ini”.

Kelulusan ketetapan begini sudah pasti menjadi petanda komitmen tinggi PAS di dalam mempertegaskan sesatunya dasar yang termaktub di dalam perlembagaannya, iaitu Islam. Tidak syak lagi, muktamar ini adalah medan yang cukup sesuai bagi memperkuatkan jati diri dan solidariti PAS di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14). Termasuk di dalamnya ialah pemaparan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang membuka pintu kerjasama di dalam blok ketiga kepada mana-mana pihak yang sedia menerima kepimpinan Islam dan menutupnya kepada mereka yang bersikap keras terhadap Islam.

Muktamar ini pastinya akan menyerlahkan lagi semangat ahli PAS yang sudah sedia tinggi ekoran pembentangan usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 dalam sidang Parlimen pada 6 April lalu.

Advertisements

One thought on “PAS Lebih Peka Tanpa Golongan Erdogan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s