Kenapa Tiada Wakil Malaysia Timur Dalam Organisasi Pakatan Harapan ?

PETALING JAYA: Ahli politik DAP Sarawak mempersoalkan ketiadaan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH).

Awal minggu ini, The Insight Malaysia memetik sumber menyenaraikan barisan yang diketuai Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengerusi.

Menurut artikel itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi penasihat, manakala Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing mengetuai Amanah dan PPBM dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan menjadi naib pengerusi.

Terdapat 14 pemimpin lagi yang akan membentuk ahli majlis tetapi tiada seorang pun wakil dari Malaysia Timur.

“Kata majlis presiden untuk Pakatan Harapan (PH), tapi tiada seorang pun wakil dari Sabah dan Sarawak? Apa yang anda fikir?” soal ahli DAP Abdul Aziz Isa dalam Facebooknya.

Abdul Aziz adalah pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

“Kelakar bukan? Walaupun ia masih dalam cadangan, di mana wakil Sabah dan Sarawak? Saya tertanya-tanya … ”

“Sebuah parti baru yang baru sahaja ditubuhkan kurang daripada setahun mempunyai 5 wakil, sedangkan Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia selama 54 tahun tidak diberikan peluang dalam pimpinan MPPH,” katanya merujuk kepada PPBM yang hanya secara rasmi menyertai PH tahun ini.

Abdul Aziz berkata terdapat 57 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak termasuk Labuan tetapi PH tidak melihat betapa pentingnya peranan Malaysia Timur untuk menawan Putrajaya.

“PH mempunyai 16 wakil di Sarawak dan 4 di Sabah, maka seramai 20 dari Borneo, jumlah itu lebih ramai dari wakil PPBM.”

Beliau juga mempersoalkan kenapa tiada wakil dari etnik Sabah dan Sarawak dalam pimpinan MPPH seperti Dayak, Kadazan Dusun, Iban, Bidayuh dan sebagainya.

“Kita ada Baru Bian dari PKR Ba’Kelalan, Ali Biju (PKR-Krian) dan Dr Edwin Bosi (DAP-Kepayan) yang mewakili etnik ini, kenapa mereka tidak terpilih?” soal Abdul Aziz lagi.

Semalam, Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM Datuk Dr Rais Hussin memberitahu Malaysiakini senarai Majlis Presiden PH masih dirangka dan akan dimuktamadkan dalam masa 2 minggu.

Walaupun sudah lama berada di Sabah dan Sarawak, pembangkang nasional tidak mampu mengancam kedudukan BN di kedua negeri, hanya DAP dan PKR mencapai beberapa kejayaan, tetapi kebanyakannya di kerusi bandar.

Menuju pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas, hubungan antara DAP dan PKR teruji apabila beberapa ahli politik negeri tidak berpuas hati dengan rundingan pembahagian kerusi oleh pimpinan nasional.

Pertikaian membawa kepada pertandingan pelbagai penjuru di 6 kerusi DUN: Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. Kesemua kerusi tersebut dimenangi Barisan Nasional – FMT

Advertisements

One thought on “Kenapa Tiada Wakil Malaysia Timur Dalam Organisasi Pakatan Harapan ?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s