Mati Melayu! Sakai Masuk Hutan! : Membedah Laporan Tragedi 13 Mei 1969


menara.my – Tanggal 13 Mei 1969, merupakan tarikh tercetusnya peristiwa hitam dalam lipatan sejarah Malaysia. Tragedi berdarah ini adalah kemuncak kepada masalah perpaduan negara sehingga terjadinya rusuhan kaum yang sangat dahsyat.

Sepanjang 57 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, rusuhan ini mencatatkan sejarah paling gelap. Berlaku akibat kegagalan rakyat majmuk membendung kemaraan api perkauman yang membara pada masa itu, peristiwa itu bukan sahaja telah menyebabkan komplikasi dalam perpaduan masyarakat, malah keharmonian, keamanan dan kestabilan negara turut tergugat.

Menurut Laporan Tragedi 13 Mei yang disediakan oleh Pengarah Gerakan Negara, segalanya bermula pada zaman penjajahan rejim British di Tanah Melayu. Dasar ekonomi British telah menggalakkan kedatangan orang bukan Melayu secara beramai-ramai ke tanah Melayu lalu menjadikan dasar pecah dan perintah sebagai asas pentadbiran negara.

Dasar ini telah mengakibatkan pecahan kaum yang secara umumnya terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina. Malangnya, pentadbiran ke atas kaum secara berasingan telah menyebabkan wujudnya pemisah kebudayaan terutamanya kaum pendatang yang tidak dapat memahami nilai-nilai budaya setempat. Selepas Perang Dunia Kedua, British cuba melemahkan pengaruh orang Melayu dengan pendekatan menyatukan pentadbiran di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai Malayan Union.

Pembentukan pentadbiran ini bertujuan melemahkan kedaulatan Raja-raja Melayu dan mengancam kedudukan politik orang Melayu dengan membuka peluang kewarganegaraan kepada semua orang dengan mudah (kecuali warganegara Jepun). Namun, usaha penubuhan Malayan Union berjaya digagalkan ekoran kebangkitan orang Melayu yang menentang keras pelaksanaan itu.

Tahun 1948, darurat telah diisytiharkan di Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya yang didominasi oleh kaum Cina telah membuat kekacauan di Tanah Melayu. Keganasan, kezaliman dan kekejaman Parti Komunis Malaya tidak terhenti setakat itu.

Setahun sebelum pilihan raya diadakan, mereka kembali aktif dengan pelbagai strategi dan helah. Dalam diam, mereka meniup sentimen perkauman dan mewujudkan pertelingkahan antara kaum agar rakyat sentiasa berbalah dan tidak bersatu. Menjelang Pilihan Raya Umum 1969, ahli-ahli politik telah menyemarakkan lagi api perkauman dengan ucapan-ucapan mereka yang berbaur hasutan, semata-mata untuk memancing undi dan sokongan.

Pihak pembangkang terutamanya yang didukungi oleh Parti Tindakan Demokrat (DAP) telah membangkitkan soal sensitiviti yang berkait dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu. Apa yang lebih melampau, mereka telah mempersoalkan kedudukan bukan Melayu sebagai bumiputera di Tanah Melayu.

Menurut laporan ini, antara punca yang menyumbang kepada tragedi 13 Mei 1969, bertitik tolak dari tindakan DAP dan Gerakan yang antara lain mengadakan perarakan secara haram. Perarakan yang berlangsung pada 11 dan 12 Mei, 1969 itu sebenarnya bukanlah untuk meraikan kemenangan DAP dalam pilihan raya, tetapi lebih kepada perarakan yang menghasut dan menimbulkan ketegangan antara kaum Melayu dan Cina.

Dalam perarakan yang didominasi oleh kaum Cina ini, mereka telah menyinggung perasaan orang Melayu dengan kata-kata yang menghina dan mencaci orang Melayu seperti ‘Mati Melayu’, ‘Sakai pergi masuk hutan!’, ‘Melayu balik kampung’, ‘Melayu sekarang tiada kuasa lagi’ disamping berkelakuan tidak sopan.

Kata-kata nista dan biadap yang disengajakan itu telah mencabar kesabaran dan menimbulkan kemarahan orang Melayu pada masa itu. Melihat kepada tindakan biadab dan kata-kata nista yang ditujukan kepada orang Melayu secara terang-terangan, sekumpulan pemuda UMNO telah bercadang untuk mengadakan perarakan balas terhadap perarakan yang dilakukan oleh pihak pembangkang dan meraikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya 1969.

Cadangan perarakan itu telah dipersetujui oleh Dato’ Harun Bin Haji Idris yang merupakan Menteri Besar Selangir ketika itu. Walau bagaimanapun, perarakan itu dipercayai dibuat secara aman dan mendapat kebenaran daripada pihak Polis. Semua peserta perarakan diarah berkumpul di kediaman Menteri Besar pada 7.00 malam, 13 Mei 1969.

Khabar angin yang mengatakan perarakan pada malam itu akan diserang oleh anasir-anasir Cina telah tersebar luas menyebabkan orang Melayu yang menyertai perarakan bersiap sedia dengan pisau dan parang bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Rusuhan dan pergaduhan kaum yang berlaku di Setapak telah merebak ke Jalan Tunku Abdul Rahman seterusnya ke Kampung Baru dan daerah-daerah sekeliling.

Kekacauan yang meletus ini telah mengorbankan banyak nyawa dan kerosakan harta benda. Pihak polis dengan kerjasama pasukan tentera telah berusaha keras memulihkan keadaan. Akibat daripada rusuhan yang tidak terkawal di sekitar Bandar Kuala Lumpur, pengisytiharan perintah berkurung telah dikuatkuasan untuk menyelamatkan keadaan supaya tidak bertambah buruk. Tidak dinafikan, penglibatan ejen kongsi gelap dan puak-puak pelampau semasa pilihan raya juga menyumbang kepada tragedi 13 Mei 1969.

Sesetengah dari ahli kongsi gelap ini dipercayai merupakan ahli Parti Buroh Malaya yang dikuasai oleh komunis. Mereka bukan sahaja terlibat dalam jenayah pemerasan malah berperanan dalam menimbulkan suasana tegang antara kaum melalui hasutan, pujukan dan penyebaran khabar angin.

Menurut laporan ini, sebuah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan demi mengendalikan urusan pentadbiran negara dalam situasi darurat. Majlis ini berfungsi untuk mengembalikan keamanan, kekuasaan undang-undang, memastikan pentadbiran negara yang licin dan berusaha mengembalikan keharmonian serta kepercayaan antara kaum.

Kedua, setiap warganegara tanpa mengira asal usulnya mestilah memahami keadaan dan keistimewaan negara ini seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan agar sistem demokrasi dapat dipulihkan. Ketiga, Kerajaan membentuk undang-undang yang melarang mana-mana kaum dari menulis, mencetak, mengungkap atau menyoal sebarang perkara yang berkaitan dengan hak, status, kedudukan, keistimewaan dan kuasa-kuasa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setelah dihayati soroton tragedi hitam itu, jelaslah perpaduan merupakan tunjang kepada pembentukan sebuah negara yang maju. Sebagai warganegara, sudah tentu kita tidak mahu bayangan peristiwa pahit ini menghantui perjalanan hidup masyarakat kita yang berbilang kaum. Malangnya, kelihatan ada pihak yang sengaja mencetuskan bibit-bibit api perkauman sehingga mengancam kestabilan dan keharmonian negara dewasa ini.

Ambillah iktibar dan bersyukurlah dengan anugerah keamanan yang kita sedang kecapi ini. Justeru itu, semua pihak terutamanya para pimpinan negara diingatkan agar menjaga sensitiviti antara agama kerana sejarah tidak mustahil berulang.

Advertisements

One thought on “Mati Melayu! Sakai Masuk Hutan! : Membedah Laporan Tragedi 13 Mei 1969

  1. mmg betul itu kakak2 saya kena dan saudaramara yg tggl d kgbr.. melayu harbi yg berhatikan komunis tidak melalui penghinaan d halau dari kampong.
    tujuan limkomunis dari dulu tidak berhenti hgga
    sekarang nak hancurkan bangsa dan islam. lagi
    mcm ba#* ramai bangsa sendiri hati sudah jadi
    hitam mcm komunis.
    lagi laknat dari komunis

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s