Mengapa PAN Begitu Sensitif Dikaitkan Dengan DAP, Soal Ahli Akademik

Pada 9 Mei lalu, saya telah menulis satu komentar ringkas di laman muka buku saya bagi mengulas persamaan di antara Perlembagaan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Perlembagaan DAP sehubungan dengan cara pemilihan pemimpin tertingginya.

Mulanya, saya nyatakan betapa ramai yang tertanya-tanya mengapa AMANAH masih gagal mendedahkan kandungan perlembagaannya untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia seperti dibuat parti lain walaupun setelah lebih setahun setengah ia beroperasi.

Saya nyatakan betapa saya sendiri telah berkesempatan melihat butiran Perlembagaan AMANAH yang diluluskan oleh Kongres Luar Biasanya pada 25 Ogos dan 8 September 2015 dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 Oktober 2015.
Saya sebutkan bahawa perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah betapa dekatnya Perlembagaan AMANAH dengan Perlembagaan DAP dan betapa jauhnya ia dengan Perlembagaan PAS sehubungan dengan cara pemilihan pemimpin tertingginya.

Mengikut Perlembagaan PAS, pemimpin tertingginya adalah dipilih oleh Muktamar Tahunan PAS setiap dua tahun manakala mengikut Perlembagaan DAP mereka adalah dilantik oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang dipilih oleh Kongres Kebangsaan setiap tiga tahun.

Perlembagaan AMANAH yang diluluskan oleh ROS pada 1 Oktober 2015, mahupun yang diluluskan oleh ROS pada 15 Ogos 2016, memperuntukkan bahawa pemimpin tertinggi AMANAH sememangnya dilantik mengikut kaedah yang diguna pakai oleh DAP.

Saya merasa agak terkejut bila komentar ringkas saya ini telah ditularkan dalam media sosial sehingga mendorong sesetengah pemimpin dan aktivis AMANAH membuat serangan sama ada secara terbuka mahupun secara peribadi terhadap diri saya kerananya.

Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN), yang diketuai oleh Hanipa Maidin, di dalam kenyataannya pada 12 Mei menyebut setiap ahli AMANAH boleh berhubung dengan Setiausaha Organisasinya jika ingin mendapatkan salinan Perlembagaan AMANAH.

Melucukan bila KANUN menyebut orang awam boleh membuat carian di ROS jika mereka ingin mendapatkan Perlembagaan AMANAH sedangkan apa yang dibangkitkan adalah mengenai kenapa ia tidak didedahkan untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia.

Jika tiada apa yang mahu disembunyikan oleh pemimpin AMANAH mengenai perlembagaan ini, mengapa ia tidak disebarkan secara terbuka di laman-laman web yang dimiliki oleh parti itu seperti dibuat parti lain bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menelitinya?

KANUN mendakwa saya mempunyai niat tersirat bila menyamakan AMANAH dan DAP sedangkan saya hanya membandingkan Perlembagaan AMANAH dengan perlembagaan parti-parti lain di Malaysia, bukan dengan apa yang diamalkan di tempat dan era lain.

KANUN tidak mampu menafikan bahawa kaedah pemilihan pemimpin tertinggi AMANAH dan DAP sama. Perubahan kecil seperti nama atau bilangan di dalam perlembagaan yang diluluskan oleh ROS pada 15 Ogos 2016 tidak mendatangkan kesan ke atas kaedah ini.

Kesilapan yang saya lakukan hanyalah kerana menyebut bahawa bilangan Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang perlu dipilih dalam Kongres Nasional AMANAH ialah 25 orang, tetapi bilangan ini betul mengikut perlembagaan yang diluluskan oleh ROS pada 1 Oktober 2015.

Bahawa saya sebelum ini tidak tahu mengenai kewujudan perlembagaan baru AMANAH yang menambah bilangan Jawatankuasa Pimpinan Nasionalnya ini menjadi 26 orang membuktikan lagi kegagalan AMANAH menyebarluaskan kandungan perlembagaannya.

Pelik bila KANUN berpaut dengan kaedah pemilihan khalifah ketiga walhal Perlembagaan AMANAH tiada peruntukan mengenai Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulamak dan Qias yang terang dan nyata sebagai hukum tertinggi seperti dalam Perlembagaan PAS.

Tidak saya sangka rupa-rupanya begitu sensitif sekali pemimpin AMANAH ini bila parti mereka dikaitkan dengan DAP walhal tindak-tanduk mereka dan pemimpin DAP menjadi bukti nyata mengenai hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua buah parti ini.

Dengan hanya melihat sepintas lalu kepada tindak-tanduk pemimpin DAP terhadap AMANAH selama ini, belum lagi melihat kepadanya secara terperinci, apa lagi kepada tindak-tanduk pemimpin AMANAH terhadap DAP, sudah jelas terlihat keintiman kedua-dua buah parti ini.

Sejarah telah tercatat mengenai permusuhan ketat pemimpin DAP dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan mengenai sokongan pemimpin DAP ke atas pemimpin PAS yang cuba menjatuhkan pasukan Abdul Hadi di dalam pemilihan PAS 2015.

Setelah pemimpin yang kalah ini keluar dari PAS dan menubuhkan AMANAH, rekod menunjukkan pemimpin DAP-lah yang memberi nyawa kepada mereka melalui pelbagai cara, sama ada melalui saluran parti atau Kerajaan Pulau Pinang yang dimiliki DAP.

Belum pun AMANAH dilancarkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah mengumumkan di Gelang Patah pada 5 September 2015 bahawa keutamaan terbesar selepas 16 September (pelancaran AMANAH) adalah merangka rencana terperinci bagi merampas Johor.

Di saat ada pemimpin pembangkang, khususnya dari PKR, yang belum bersetuju Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September 2015, pemimpin DAP-lah yang bekerja keras bagi meyakinkan mereka supaya menubuhkannya segera demi kelangsungan AMANAH.

Mengikut strategis DAP, Dr Ong Kian Ming, ini perlu dilakukan bagi mengelakkan rakan mereka di dalam AMANAH berada di awang-awangan, bagi memberikan lonjakan kepada legitimasi AMANAH dan bagi memberi peluang kepadanya menunjukkan komitmen.

Strategis DAP lain, Liew Chin Tong, pula menepis kepercayaan PKR boleh memainkan peranan seperti Semangat 46 dengan mengetuai dua pakatan berasingan kerana ia tidak akan adil kepada AMANAH, mahupun PAS, kerana AMANAH adalah pengganti PAS.

Sehari selepas Pakatan Harapan diwujudkan, Setiausaha Agung DAP selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengumumkan keputusan mesyuarat bahawa kerajaan itu digelar sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, bersama jawatan untuk AMANAH.

Cubaan DAP menjadikan Kerajaan Selangor satu lagi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan bagi mengakomodasi AMANAH, seperti didedahkan oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, pada 1 November 2015, pula ditolak oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali.

Dari sudut ideologi, Liew Chin Tong sejak awal-awal lagi mewajibkan AMANAH supaya memenuhi mandat progresif/sederhana dan mengemukakan satu wacana menyeluruh post-Islamis mengenai maqasid syariah bagi memenangi sokongan lebih ramai rakyat Malaysia.

Dari sudut organisasi, perkembangan AMANAH diikuti dan dipantau rapi oleh DAP, khususnya oleh Lim Kit Siang yang sering merekodkan penyertaan beliau di dalam majlis pelancaran AMANAH sama ada di peringkat Kawasan mahupun di peringkat Negeri.

Dalam majlis pelancaran AMANAH Johor pada 14 November 2015, Lim Kit Siang menyebut betapa Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir, memaklumkan kepada beliau bahawa ahli parti itu dijangka akan mencapai bilangan 60,000 ahli hujung tahun itu.

Dalam majlis sambutan ulangtahun pertama AMANAH Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2016 pula, Lim Kit Siang menyebut betapa Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub, memaklumkan kepada beliau bahawa bahawa ahli parti itu sudah mencecah 85,000.
Bila timbul pertelingkahan mengenai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, pemimpin DAP, termasuk Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh, menyokong kuat AMANAH, untuk memastikan ia berkembang.

Dalam waktu kempen, Lim Kit Siang-lah yang paling aktif mencatur strategi untuk kemenangan AMANAH, menggesa calon PAS menarik diri dan menyertai AMANAH, malah menentukan isu-isu yang akan calon-calon AMANAH bawa di Parlimen jika menang.

Kesemua ini menjadi petanda jelas betapa AMANAH mendapat tempat yang sangat istimewa di dalam hati pemimpin DAP, begitulah juga dengan pemimpin AMANAH yang sering kelihatan memuja-muji dan membela pemimpin DAP pada setiap kesempatan yang ada.

Sekadar contoh, dari aspek pujian, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, pernah direkodkan memuji Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, dengan menyatakan bahawa Parlimen Malaysia memerlukan seorang Speaker seperti beliau.

Dari aspek pembelaan, bila Datuk Seri Azmin Ali menegur Lim Guan Eng berhubung pengguguran dua wakil PKR daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seorang pemimpin AMANAH, Saari Sungib, membuat kenyataan menyatakan teguran itu tidak wajar.

Begitu juga bila Lim Guan Eng mengemukakan cadangan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang ekoran pendakwaan atas dua tuduhan rasuah ke atas beliau, AMANAH terus sahaja bersetuju dengan cadangan ini walaupun PKR belum bersetuju.

Secara ringkasnya, pesanan ikhlas saya kepada pemimpin AMANAH ialah usahlah terlalu sensitif bila parti anda dikaitkan dengan DAP, baik dari segi perlembagaan atau apa saja, kerana ramai yang tahu memang wujud hubungan istimewa antara parti anda dan DAP.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.

Persamaan Perlembagaan PAN Dengan DAP – Dr Kamarul

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s