PAS Selangor Nafi Azmin Arahkan Tiga Exco PAS Letak Jawatan

AIDCNews– 13/05/17 –PAS Selangor menafikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan tiga exco dari parti Islam supaya meletakkan jawatan dalam Kerajaan Negeri Selangor susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu menamatkan hubungan politik dengan PKR.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi ketika dihubungi berkata dalam pertemuan PAS dengan Azmin, Timbalan Presiden PKR tidak pernah mengeluarkan arahan seperti itu dan kedudukan tiga exco PAS itu tetap dikekalkan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Tidak timbul isu (pecat) ini…dalam pertemuan dengan menteri besar semalam pun, (Mohamed) Azmin tidak mengeluarkan kenyataan untuk memecat mahupun meminta exco PAS untuk melepaskan jawatan mereka masing-masing.

“Ini hanyalah andaian dan khabar angin pihak luar sahaja, kita berpendirian untuk kekal kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Ahmad Yunus yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam barisan exco kerajaan negeri turut menafikan dakwaan isu pemecatan itu.

“Tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar sendiri berhubung isu pemecatan itu. Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini…kita sendiri tidak tahu siapa yang mencipta isu ini.

“Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco PAS) dalam Kabinetnya,” katanya.

Selain Ahmad Yunus, dua lagi exco PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hari ini, The Star melaporkan Azmin telah meminta tiga exco PAS melepaskan jawatan masing-masing sebagai ahli exco kerajaan negeri.

Azmin dilaporkan telah membuat permintaan mengejutkan itu semasa mesyuarat selama satu jam dengan tiga exco PAS Selangor dan Pesuruhjaya PAS negeri pada Jumaat.

“Namun, Azmin telah memberi jaminan bahawa PAS masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat kemenangannya pada pilihan raya umum 2013.

“Difahamkan, wakil PAS akan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung,”lapor The Star.

Azmin memanggil mesyuarat itu berikutan keputusan Majlis Syura PAS pada Khamis menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

“Beliau menerima tekanan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan untuk memutuskan hubungan dengan PAS kerana tidak masuk akal untuk mereka ‘tinggal serumah’ selepas parti itu mengumumkan ‘perceraian’.

“Difahamkan bahawa wakil-wakil PAS terkejut dengan permintaan menteri besar dan mereka mahu berbincang dengan parti sebelum tampil dengan satu keputusan.

“Turut difahamkan, pemimpin-pemimpin PAS telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mesyuarat pimpinan tertinggi parti akan dipanggil tidak lama lagi.

“Langkah ‘luar jangkaan’ oleh Azmin itu telah mengejutkan pimpinan PAS kerana parti itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri walaupun Majlis Syura telah membuat keputusan mengenai hubungan mereka yang boleh diibaratkan sebagai ‘cerai talak tiga’,”lapornya.

Dalam mesyuarat itu, Sallehen, dilaporkan telah menjelaskan bahawa dasar tahaluf siyasi itu akan digantikan dengan konsep taawun, satu kerjasama untuk manfaat rakyat dan negara.

Sallehen berkata konsep taawun akan membolehkan PAS menjalankan tugasnya dalam kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, difahamkan Azmin tidak berminat dengan penjelasan itu yang difikirkan tidak akan diterima baik orang masyarakat umum di Selangor.

Sumber PAS berkata mesyuarat antara Azmin dan wakil-wakil PAS berlangsung dengan baik walaupun menteri besar melahirkan rasa kesal dengan keputusan Majlis Syura untuk menamatkan hubungan antara dua parti.

Alasan yang diberikan termasuklah kegagalan PKR untuk menyokong agenda Islam PAS, termasuk isu RUU355 dan serangan pemimpin PKR terhadap kepimpinan PAS.

Sebab-sebab lain adalah, PKR sedang merancang untuk bekerjasama dengan parti lain untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil lalu.

Azmin bertemu media selepas mesyuarat itu tetapi enggan mengulas mengenai butiran perbincangan kecuali menyatakan kekecewaannya dengan keputusan Majlis Syura dan mengatakan bahawa beliau akan memberi taklimat kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sedang dalam perjalanan pulang dari New York.

Azmin kemudian memberitahu The Star bahawa kestabilan kerajaan negeri adalah paling utama, dan beliau perlu mengkaji situasi sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya telah melakukan segala yang mungkin dari segi kemanusiaan, melalui perbincangan dan rundingan tetapi mereka telah menutup pintu. Kesabaran ada hadnya,” katanya.

Walaupun sedang berdepan krisis, Azmin dan ahli-ahli exco negeri PAS dilihat berbual secara baik pada satu majlis di Rawang.

Azmin kemudian memberitahu pemberita bahawa PKR bersedia untuk bertanding menentang PAS dalam pilihan raya umum.

Advertisements

2 thoughts on “PAS Selangor Nafi Azmin Arahkan Tiga Exco PAS Letak Jawatan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s