Dr Mujahid Kuda Tunggangan Terbaik DAP – Dr Kamarul

Saya tidak terkejut membaca laporan portal berita Malaysiakini bertarikh 24 Mei 2017 bertajuk “Iman Tak Goyah Pun Baca Buku Yeoh” yang memuatkan kenyataan Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, mengenai buku tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, bertajuk “Becoming Hannah”

Kata Dr Mujahid, buku Hannah mempunyai persamaan dengan buku tulisan beliau, “Aren’t We All Malaysians”. Beliau juga mendakwa tidak menemui sebarang unsur yang boleh membawa seseorang Muslim murtad seperti kononnya didakwa oleh saya, sambil menambah, “Sebaliknya selepas membaca buku itu saya menjadi Muslim yang lebih baik”.

Sejak Dr Mujahid masih di dalam PAS lagi saya telah mengkritik beliau. Antaranya ialah melalui tulisan saya pada 21 Jun 2014 yang mengkritik kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara, yang beliau pengerusikan.

Kritikan itu saya buat kerana kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini, pada hemat saya, mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang di mana kedua-duanya bukan sahaja berlawanan dengan ajaran agama, malah berlawanan juga dengan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

Kritikan ini timbul kerana, mengikut Seksyen 4(1) Rang Undang-Undang ini, “kepercayaan” bermakna apa-apa kepercayaan agama atau falsafah dan satu rujukan kepada kepercayaan merangkumi satu rujukan kepada ketidakpercayaan manakala “agama” pula bermakna apa-apa agama dan merangkumi apa-apa kepercayaan atau ketidakpercayaan agama.

Mengikut Seksyen 6(1) Rang Undang-Undang ini, Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas agama… Mengikut Seksyen 7(1)(ii) pula, Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas jantina, termasuk orientasi dan identiti seks.

Saya waktu itu cukup terkejut bagaimana peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang ini boleh wujud di dalam Rang Undang-Undang yang dirangka oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid, yang waktu itu merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Bagaimanapun, setelah ini berlaku, tambahan pula setelah Dr Mujahid sendiri bertindak keluar dari PAS bersama-sama rakan-rakan sefikrah beliau untuk menubuhkan parti baru bernama AMANAH yang menunjukkan keintiman luar biasa pula dengan parti sekular tegar, DAP, maka tidaklah pelik bila beliau memerli saya mengenai buku Hannah ini.

Apatah lagi bila pada hari yang sama, 24 Mei 2017, portal berita The Malaysian Insight melaporkan pula satu kenyataan Dr Mujahid pada forum awam Reformasi Pilihan Raya PRU14 anjuran Bersih 2.0 Wilayah Utara di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang di bawah tajuk berbunyi “Hapuskan Parti Politik Berasaskan Kaum Dan Agama”.

Mengikut laporan ini, Dr Mujahid mencadangkan pada forum ini bahawa satu perkara yang Pakatan Harapan perlu lakukan jika pakatan pembangkang memenangi Kerajaan Persekutuan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ialah untuk memastikan tiada lagi parti politik yang berasaskan kaum dan agama sebagai satu-satunya cara untuk bergerak ke depan.

Membaca laporan mengenai kenyataan Dr Mujahid ini, terus fikiran saya teringat kepada insiden di mana Pengerusi DAP, Karpal Singh, dilaporkan menggesa kerajaan mengharamkan semua pertubuhan yang bergerak di atas garis perkauman dan di atas garis keagamaan di dalam sidang media beliau di Pulau Pinang pada 5 November 2013.

Tidak berpuas hati dengan laporan mengenai kenyataan Karpal Singh ini, apatah lagi kerana DAP waktu itu merupakan rakan PAS di dalam Pakatan Rakyat, saya telah berusaha mendapatkan rakaman sidang media beliau dari seorang wartawan, dan setelah mendengar sendiri rakaman tersebut maka terbukti beliau memang menyebut perkara tersebut.

Masih tersimpan di dalam rekod saya ayat-ayat spesifik yang disebut oleh Karpal Singh waktu itu, iaitu “The government cannot allow associations which operate on racial lines, which operate on religious lines.” (Kerajaan tidak boleh membenarkan pertubuhan-pertubuhan yang bergerak di atas garis perkauman, yang bergerak di atas garis keagamaan.)

Sambung Karpal Singh lagi: “Operating along religious, racial lines, is a very dangerous thing in a multi-racial and a multi-religious society like ours. I think the time has come perhaps for all racial (and religious) parties to be deregistered, that will include unfortunately even PAS.”

(Bergerak di atas garis-garis keagamaan, perkauman, adalah satu perkara yang sangat membahayakan di dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama seperti masyarakat kita. Saya fikir masanya mungkin sudah tiba bagi semua parti perkauman (dan keagamaan) untuk dibatalkan pendaftarannya, ini malangnya merangkumi PAS juga.)

Bila cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh Karpal Singh ini diutarakan semula oleh Dr Mujahid maka terbuktilah bahawa Dr Mujahid, dan seterusnya AMANAH, adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s