Apakah PKR Sokong Perhimpunan Kebangkitan Kristian ? – Dr Kamarul

Di dalam komentar Facebook bertajuk “Majlis Di Melaka Dibatalkan, Bagaimana Pula Majlis Di Sarawak?” semalam, 6 Jun, saya menyebut betapa tidak ada sebab mengapa majlis “All Borneo Revival Convocation 2017” yang dirancang untuk dilangsungkan di BEM On The Rock, Miri, Sarawak, pada 22-25 Jun ini boleh dibenar untuk dilangsungkan setelah majlis “All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation” yang dirancang untuk dilangsungkan di Calvary Life Assembly Chinese, Melaka, pada 15-18 Jun ini tidak dibenar untuk dilangsungkan.

Hujah yang saya gunakan di dalam komentar ini adalah kedua-dua majlis ini mempunyai tema sama dan dibarisi penceramah utama sama, di mana dua penceramah utama pada kedua-dua majlis ini yang saya sebutkan ialah Tom Hess dan Afeef Halasah.

Di dalam laporan bertajuk “Gereja Sarawak Batal Acara Kristian Walaupun Pemimpin Negeri Restu”, portal berita The Malaysian Insight hari ini memuatkan kenyataan seorang ahli jawatankuasa penganjur “All Borneo Revival Convocation” bahawa pemimpin gereja Sarawak memutuskan untuk membatalkan majlis “All Borneo Revival Convocation 2017” selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengarahkan pembatalan majlis “All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation di Melaka. Laporan portal berita ini, yang menyebut mengenai “acara Kristian serupa (dengan acara yang sepatutnya diadakan di Melaka minggu depan) di Miri yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini” dan mengenai “penceramah yang sama dijadualkan memberi ucapan di Miri”, mengesahkan apa yang saya tulis sebelum ini bahawa kedua-dua majlis ini mempunyai tema sama dan dibarisi penceramah utama sama.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, mengenai Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) di dalam laporan portal berita The Malaysian Insight ini sangat perlu diberikan perhatian.

Kata Baru Bian: “Perhimpunan Kebangkitan diadakan hampir setiap tahun, di mana ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak turut serta”. Sambung beliau: “Ini hanya Perhimpunan Kebangkitan yang pada asasnya selaras dengan kepercayaan rohani kebanyakan Kristian. Kebangkitan ialah perubahan rohani dan dihidupkan semula dalam keimanan terhadap Tuhan mereka. Ia tidak ada konotasi politik dan tidak ada kepentingan politik. Saya rasa masalah di Melaka ialah mereka guna perkataan Jerusalem dan keseluruhannya kelihatan sedikit provokatif. Kalau tidak, ia tidak ada kena mengena langsung dengan politik.”

Kenyataan Baru Bian ini sangat perlu diberikan perhatian kerana ia menggambarkan sokongan PKR Sarawak malah, jika tiada kenyataan bertentangan dari PKR Pusat, sokongan PKR Pusat terhadap Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini.

Semalam telah saya jelaskan betapa seruan-seruan yang dilaungkan oleh barisan penceramah utama Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini seperti “Malaysia milik Saya”, “Dia akan mengambil semula Malaysia untuk-Nya” dan “Kehendak umum Tuhan kepada semua kita di Malaysia ialah untuk menakluk negara ini dengan Kerajaan Tuhan”, jika dibiarkan berterusan, boleh mendatangkan ancaman kepada negara.

Masalah boleh berlaku jika benar seruan-seruan provokatif yang dilaungkan oleh barisan penceramah utama Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini, seperti kata Baru Bian, “pada asasnya selaras dengan kepercayaan rohani kebanyakan Kristian” kerana seruan-seruan ini sebenarnya ada konotasi politik dan ada kepentingan politik.

Baru Bian katakan Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) di Melaka bermasalah kerana mereka guna perkataan Jerusalem, kalau tidak, ia tidak ada kena mengena langsung dengan politik, tetapi hakikat sebenarnya ialah semua majlis Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini, walau guna walau tidak guna perkataan Jerusalem pun, mengandungi semangat Jerusalem sebagai intipatinya.

Ini antara lainnya terlihat jelas di dalam kandungan promosi majlis “First Borneo Revival Convention 2016” di Sandakan Sports Complex, Jalan Sibuga, Sandakan, Sabah, pada 28 April-2 Mei 2016 yang berbunyi: “Most importantly, let us fan the fire of revival in Borneo that would spread to the whole of Malaysia and to the nations! Malaysia has the prophetic end-time calling to be the revival catalyst within the Golden Gate Nations, which fire of revival will spread back to Jerusalem.

Sebenarnya, bukan setakat Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini sahaja yang mengandungi semangat Jerusalem sebagai intipatinya, malah buku tulisan Baru Bian, bertajuk “Long Awakening”, juga mengandungi semangat sama.

Pada muka surat 210 contohnya diceritakan mengenai suara ghaib yang didengari oleh Aunty Maria menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 berbunyi “Maria, Baru Bian will lead the people just like Jepthath who led the people of Israel” (Terjemahan: “Maria, Baru Bian akan mengetuai rakyat seperti Jepthath yang mengetuai rakyat Israel”).

Pada muka surat 243 pula diceritakan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum 2013: “It has been a long awakening for Sarawak. I am reminded of Exodus 23:14, in which God assures the Israelites that the promised land will deliberately be given over to them little by little, bit by bit. There was good reason for this instead of an immediate landslide victory. There was much Israel had to learn about becoming a nation. I tell myself, surely, there must be reasons for political change to take place incrementally rather than suddenly.”

(Terjemahan: “Ia adalah kebangkitan panjang untuk Sarawak. Saya diingatkan mengenai Exodus 23:14, di mana Tuhan memberi jaminan kepada orang-orang Israel bahawa bumi yang dijanjikan akan diberikan kepada mereka sedikit demi sedikit, secubit demi secubit. Ada sebab bagus untuk ini bukan untuk kemenangan besar segera. Banyak benda Israel perlu belajar mengenai menjadi sebuah negara. Saya beritahu diri saya, mesti ada sebab-sebab mengapa perubahan politik berlaku perlahan-lahan bukan mengejut.”)

Hanya dengan menggunakan logik Baru Bian sahaja pun sudah terbukti bahawa semua majlis Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini ada kena mengena dengan politik kerana jelas tertera bukan setakat semangat sahaja tetapi perkataan Jerusalem juga di dalamnya.

Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah apakah sokongan Baru Bian, yang merupakan Pengerusi PKR Sarawak, terhadap Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) bermakna PKR Pusat turut sama menyokongnya?

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/4483/

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s