Laporan Polis PKR Sarawak Sama Seperti Hannah Yeoh – Dr Kamarul

Laporan portal berita Free Malaysia Today bertajuk “Pengerusi PKR Sarawak ‘Sayang Musuh’ Walau Diserang Pensyarah UUM” bertarikh 8 Jun 2017 dan laporan portal berita Sarawak Voice bertajuk “PKR Buat Laporan Polis Terhadap Pensyarah Universiti, Tuduh Baru Bian Campur Dakyah Kristian Dengan Politik” bertarikh 10 Jun 2017 adalah dirujuk.

Laporan portal berita Free Malaysia Today ini memetik Pengerusi PKR Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, Baru Bian, sebagai berkata:

“Kami tak sentuh politik. Kami tidak meminta orang melawan kerajaan dan sudah pasti kami tidak cuba menukar agama sesiapa pun. Jika Kamarul nak tahu, semua yang kami buat di ‘All Borneo Revival Convocation’ ialah mengingatkan penganut Kristian terhadap ajaran Bible untuk menjadi anggota masyarakat yang baik dan bertanggungjawab. Kami ingatkan mereka supaya telus dan tidak merasuah. Kami juga berdoa untuk semua pemimpin kami, daripada wakil rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa salahnya? Jika kami melanggar sebarang undang-undang, sila dakwa kami. Tetapi, sebenarnya tiada apa yang salah dengan acara itu. Ia seperti acara lain dianjurkan gereja, di mana kami bercakap mengenai ajaran Bible.”

Laporan portal berita Sarawak Voice pula berbunyi:

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam (9 Jun 2017) membuat laporan polis terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, yang menuduh Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, membawa dakyah Kristian, mencampur politik dengan agama, serta ‘meraikan orang-orang Israel’. Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Simpang Tiga di (Kuching) susulan dakwaan tidak berasas beliau terhadap Baru yang disiarkan dalam sebuah portal 8 Jun (2017).

Timbalan Pengerusi PKR (Sarawak), See Chee How, berkata, ia merupakan percubaan untuk mencetuskan permusuhan antara umat Islam dan Kristian di negeri ini. Laporan polis itu juga dibuat bagi melindungi keselamatan Baru. Rombongan Chee How turut disertai Setiausaha PKR (Sarawak), Nicholas Bawin, dan beberapa orang pemimpin serta penyokongnya.”

Laporan portal berita Free Malaysia Today bertajuk “Selepas Hannah, pensyarah UUM tuduh pemimpin PKR Sarawak bawa dakyah Kristian” bertarikh 10 Jun 2017 adalah diasaskan kepada kandungan komentar Facebook saya bertajuk “Apakah PKR Menyokong Revival Convocation?” pada 7 Jun 2017.

Intipati komentar ini adalah bahawa kenyataan Baru Bian di dalam laporan portal berita The Malaysian Insight bertajuk “Gereja Sarawak Batal Acara Kristian Walaupun Pemimpin Negeri Restu” bertarikh 7 Jun 2017 bermasalah kerana seruan-seruan provokatif yang dilaungkan oleh barisan penceramah utama majlis “All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation” dan majlis “All Borneo Revival Convocation 2017” bermasalah.

Saya juga menyebut di dalam komentar ini bahawa dakwaan Baru Bian yang majlis di Melaka hanya bermasalah kerana menggunakan perkataan Jerusalem di dalamnya tidak betul kerana hakikat sebenarnya ialah semua majlis ini, malah buku tulisan Baru Bian bertajuk “Long Awakening” juga, mengandungi semangat Jerusalem sebagai intipatinya.

Saya juga menyebut di dalam komentar ini bahawa dakwaan Baru Bian yang kedua-dua majlis ini tidak ada konotasi politik dan tidak ada kepentingan politik tidak betul. Ini saya asaskan kepada kandungan dua penceramah utama pada kedua-dua majlis ini, iaitu Pastor Tom Hess dan Pastor Afeef Halasah, di Kota Kinabalu pada 29 Mei 2015 dan di Petaling Jaya pada 31 Mac 2016 yang ada konotasi politik dan ada kepentingan politik, di mana Pastor Tom Hess menyebut

“He wants to see Malaysia come into the fullness of its destiny” dan “we see how God loves Malaysians so much that He will bring Malaysia back to Himself” (“Dia mahu lihat Malaysia masuk kepada pemenuhan takdirnya” dan “kita lihat bagaimana Tuhan benar-benar sayangkan rakyat Malaysia bahawa Dia akan mengambil semula Malaysia untuk-Nya”) manakala Pastor Afeef Halasah pula menyebut “the general Will of God for all of us in Malaysia is to invade this nation with the Kingdom of God” dan “Malaysia belongs to Me and I have given it to you to keep it for Me, to fill it with My glory and to establish My Kingdom” (“Kehendak umum Tuhan kepada semua kita di Malaysia ialah untuk menakluk negara ini dengan Kerajaan Tuhan” dan “Malaysia milik Saya dan Saya telah berikan ia kepada kamu untuk menjaganya bagi Saya, untuk mengisinya dengan kegemilangan Saya dan untuk menubuhkan Kerajaan Saya”).

Bagaimanakah gesaan untuk menubuhkan Kerajaan Tuhan di Malaysia, contohnya, boleh dikatakan oleh Baru Bian sebagai tidak ada konotasi politik dan tidak ada kepentingan politik sedangkan istilah “kerajaan” adalah istilah politik?

Saya tidak pernah menyatakan semua Perhimpunan Kebangkitan (Revival Convocation) adalah bermasalah, tetapi apa yang saya nyatakan hanyalah bahawa tindakan menyokong dan bersekongkol dengan individu-individu seperti Pastor Tom Hess dan Pastor Afeef Halasah sebagaimana dilakukan oleh Baru Bian mungkin bercanggah dengan undang-undang negara kerana seruan-seruan provokatif Pastor Tom Hess dan Pastor Afeef Halasah bermasalah.

Sokongan dan persekongkolan Baru Bian dengan individu-individu seperti Pastor Tom Hess dan Pastor Afeef Halasah lebih ketara di dalam laporan portal berita Free Malaysia Today kerana Baru Bian jelas mengasosiasikan diri beliau dengan mereka dengan menyebut, contohnya, “kami tak sentuh politik”, “semua yang kami buat di ‘All Borneo Revival Convocation’”, dan “jika kami melanggar sebarang undang-undang, sila dakwa kami”.

Sehubungan ini, sesuai dengan cabaran Baru Bian sendiri, satu laporan polis telah dibuat pada 11 Jun 2017 meminta pihak polis membuat siasatan ke atas Baru Bian, dan ke atas mana-mana rakyat Malaysia lain yang turut menyokong dan bersekongkol dengan individu-individu seperti Pastor Tom Hess dan Pastor Afeef Halasah, dan mendakwa beliau di bawah undang-undang berkaitan jika siasatan mendapati wujud perlanggaran undang-undang.

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa komentar Facebook saya “merupakan percubaan untuk mencetuskan permusuhan antara umat Islam dan Kristian di (Sarawak)”. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana Perhimpunan Kebangkitan (Revival Convocation) yang tidak ada konotasi politik dan tidak ada kepentingan politik.

Saya juga menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh PKR Sarawak yang kononnya bertujuan “bagi melindungi keselamatan Baru Bian”, seperti laporan polis yang dibuat oleh Hannah Yeoh, adalah laporan polis palsu kerana komentar Facebook saya tidak pernah mendatangkan ancaman kepada Baru Bian, Hannah Yeoh atau mana-mana pihak lain.

Tindakan membuat laporan polis ini juga menjadi satu lagi petanda hipokrasi pemimpin PKR, seperti hipokrasi pemimpin DAP, di dalam memperjuangkan kebebasan bersuara.

Saya juga tidak menuduh secara spesifik Baru Bian “mencampur politik dengan agama” seperti didakwa. Bagaimanapun, perkara ini terbukti melalui, di antara lainnya, pengakuan Baru Bian di dalam buku tulisan beliau bertajuk “Long Awakening” bahawa PKR Sarawak menggunakan Al-Kitab Kanak-Kanak sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Umum 2013, iaitu:

(1) “I realised our gifts of Al-Kitab Kanak-Kanak have surely touched these young lives and that of many others in all the priority seats where PKR stood!” (“Saya sedar bahawa hadiah Al-Kitab Kanak-Kanak sudah tentu menyentuh jiwa anak-anak ini dan jiwa ramai lagi di semua kerusi keutamaan di mana PKR bertanding!”) (muka surat 229)

(2) “Close to 50,000 Al-Kitab Kanak-Kanak and thousands of transistor radios were distributed far and wide in the interior of Sarawak, and through these our message for Change had impacted and touched some rural folks as shown in the increased support in the rural seats.” (“Hampir 50,000 Al-Kitab Kanak-Kanak dan beribu-ribu radio transistor telah diedarkan jauh dan dekat di pedalaman Sarawak, dan melalui semua ini mesej kami untuk Perubahan telah memberi impak dan menyentuh sebahagian penduduk luar bandar seperti tertera dalam peningkatan sokongan di kerusi-kerusi luar bandar.”) (muka surat 230)

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s