Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Sudah Patah Hati ? – Dr Kamarul


Sewaktu mengalu-alukan penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR pada 15 Oktober 2015, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yakin bahawa Saifuddin akan dapat memainkan peranan strategik dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan ia menumpukan kepada gagasan idea baharu bagi ditawarkan kepada rakyat.

Empat hari selepas itu, Saifuddin, yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, bekas Ahli Parlimen Temerloh, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), terus sahaja dilantik sebagai Ketua Setiausaha PH oleh mesyuarat kali pertama Majlis Presiden PH pada 19 Oktober.

Ketua Setiausaha PH adalah arkitek penting PH yang diberikan tanggungjawab mengetuai urusan pentadbiran dan organisasi harian PH yang dikendalikan oleh sebuah Sekretariat PH yang bertanggungjawab melicinkan perjalanan Majlis Presiden dan Majlis Setiausaha serta menguruskan pelaksanaan keputusan-keputusan Majlis Presiden dan Majlis Setiausaha.

Mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight pada 4 Mei 2017 pula, permohonan PH untuk didaftarkan sebagai gabungan pembangkang rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) juga dijangka akan melantik Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PH, sekali gus menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh beliau bagi menjamin kelangsungan PH.

Bagaimanapun, 1 Julai lalu, di saat umat Islam masih di dalam kemeriahan menyambut hari raya aidil fitri, secara tiba-tiba sahaja Saifuddin memuatnaik satu status di dalam Facebook beliau yang berbunyi “Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih.”

Bila Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH menulis mengenai “organisasi bertatih”, sudah tentulah ia merujuk kepada kelembapan tumbesaran PH. Begitu juga bila beliau menulis mengenai “kemenangan seakan tak mampu diraih”, sudah tentulah ia merujuk kepada ketidakmampuan PH mencapai kemenangan di dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU 14).

Persoalannya ialah kenapa tokoh sepenting Saifuddin boleh secara terbuka meluahkan kekecewaan beliau terhadap PH tatkala ramai pemimpin PH lain, terkecuali Strategis DAP, Liew Chin Tong, yang turut tersilap menyebut perkara sama di dalam akhbar mingguan The Edge Malaysia keluaran 19-25 Jun lalu, melaungkan keyakinan mereka terhadap PH?

Sebenarnya, meneliti perkembangan PH sejak ia ditubuhkan pada 22 September 2015, cukup mudah untuk memahami kenapa Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH sudah patah hati dengan PH. Ini kerana tumbesaran PH cukup lembap sehingga menyebabkan beberapa kali Saifuddin termalu sendiri bila diperlihatkan seolah-olah telah cuba membohongi rakyat.

Sebagai contohnya, pada 9 Januari 2016, bersempena dengan majlis menandatangani perjanjian PH, Majlis Presiden PH mengumumkan PH akan menumpukan usaha kepada membangunkan kerangka dasar-dasar bersama dan program-program yang akan meyakinkan rakyat bahawa PH adalah pilihan terbaik untuk membela kepentingan dan kebajikan mereka.

Menyusulinya adalah pengumuman Saifuddin sendiri selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha PH di Ibu Pejabat DAP pada 18 Januari 2016 bahawa PH akan melancarkan Dasar-Dasar Bersama PH pada 16 Julai 2016, di mana antara perkara yang bakal ditekankan adalah bagaimana untuk menangani isu kebajikan dan sosioekonomi serta politik pengundi Melayu.

Malangnya, pada tarikh yang dijanjikan, malah sehingga sekarang pun, Dasar-Dasar Bersama PH gagal dilancarkan, di mana pada 12 Julai 2016, Majlis Presiden PH sekadar mengeluarkan satu kenyataan media bagi menyatakan ia membulatkan nekad bahawa pelbagai kelemahan PH setakat itu perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan.

Turut diputuskan adalah “pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai Dasar-Dasar Bersama PH yang menyeluruh dipercepatkan supaya tumpuan kembali kepada rakyat”, sekali gus menjadi bukti nyata bahawa PH mempunyai pelbagai kelemahan, bahawa PH gagal mendahulukan kepentingan rakyat dan PH lemah menguruskan Dasar-Dasar Bersamanya.

Saifuddin, sewaktu menjawab soalan Datuk Ambiga Sreenevasan yang mempersoalkan kegagalan PH mengumumkan kabinet bayangannya dalam sesi soal jawab majlis pelancaran buku “The End of UMNO?” pada 24 Oktober 2016, juga menjanjikan bahawa Konvensyen PH pada 12 November 2016 akan memberikan gambaran tentang kabinet bayangan PH.

Malangnya, pada tarikh yang dijanjikan, malah sehingga sekarang pun, kabinet bayangan PH gagal diumumkan, di mana pada 3 Julai lalu, Saifuddin menjanjikan pula bahawa pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menawarkan diri sebagai calon akan memberi laluan untuk PH menamakan calon Perdana Menterinya dalam masa terdekat.

Konvensyen PH pada 12 November 2016 menyaksikan pimpinan setiap parti menyampaikan pidato masing-masing, antaranya ialah Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al-Jundi, yang menyeru PH supaya menyediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan Melayu pada PRU14.

Cadang Aiman Athirah di dalam Konvensyen PH ini, satu jawatankuasa khas perlu dibentuk bagi merangka strategi baru gerakan Melayu Bumiputra dan bagi mengemukakan dokumen agenda baru Melayu Bumiputra. Tegas beliau lagi, “kalau kita gagal untuk mengeluarkan tawaran kepada Melayu Bumiputra ini, UMNO akan terus berkuasa selepas PRU 14”.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, pula mencadangkan sudah sampai masanya PH mengurangkan ulang cerita korupsi Kerajaan BN dan menghebahkan penyelesaian masalah rakyat. Tegas beliau, “kita harus ubah nada kempen”, “kita perlu hebahkan kemampuan kita”, dan “kita mesti tunjukkan rancangan untuk menyelesaikan masalah harian mereka”.

Seruan begini turut diulang oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dalam ucapan Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia pada 7 Februari lalu dengan menyebut, “isu dah terlalu banyak, sampai orang nak muntah dah, tapi persoalan yang belum selesai ialah keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu, tentang apa akan jadi jika berlaku perubahan kerajaan”.

Begitupun, hasil Konvensyen PH dan Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia ini ternyata langsung tidak diambil berat oleh pimpinan PH lain di mana Wan Azizah sendiri mengumumkan rancangan PH untuk mengadakan jelajah tiga bulan bagi memberi penjelasan terkini mengenai isu 1MDB bermula di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 6 Julai ini.

Begitu juga dengan segala butiran Perjanjian PH yang disediakan dengan segala susah-payahnya oleh Sekretariat PH dan yang ditandatangani oleh para pemimpin tertinggi PH pada 9 Januari 2016, di mana Perjanjian PH ini kelihatan tercatat indah di atas kertas sahaja tetapi kandungannya seolah-olah telah dibakulsampahkan terus oleh ahli dan pemimpin PH.

Sebagai contohnya, Fasal 2.3 Perjanjian PH memperuntukkan bahawa “sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman PH untuk diselesaikan secara bersama di dalam PH” dengan pihak yang melanggar peruntukan ini boleh diadu kepada Badan Perantara.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain tetap juga disuarakan secara terbuka oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim, yang menghentam AMANAH dan PPBM di dalam portal berita Malaysiakini pada 28 Jun dan 1 Julai lalu.

Fasal 6.6 dan Fasal 6.7 Perjanjian PH pula memperuntukkan bahawa pentadbiran kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan di peringkat negeri-negeri akan diketuai oleh seorang Perdana Menteri dan seorang Menteri Besar/Ketua Menteri yang dipilih mengikut prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam PH perlulah bersetuju sebulat suara dengannya.

Bagaimanapun, pengumuman secara unilateral mengenai calon Perdana Menteri dan calon Menteri Besar/Ketua Menteri PH ini tetap juga dibuat oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Penasihat PH, Lim Kit Siang, yang menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan di dalam kunjungan beliau ke Kota Bharu pada 29 Jun lalu.

Kesimpulannya, berdasarkan kepada perkembangan PH seperti yang dinyatakan, memang wajarlah Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH memuatnaik satu status di dalam Facebook beliau yang berbunyi “Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih.”

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

2 thoughts on “Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Sudah Patah Hati ? – Dr Kamarul

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s