Persempadanan Semula : SPR Berjaya Ketepikan Permohonan Azmin

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu memberi maklumat mengenai kod dan nama lokaliti bagi 136,272 pemilih di Selangor pada 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri Selangor untuk urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan SPR untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar ia memberi maklumat itu.

Kerajaan Selangor juga gagal dalam rayuannya untuk memeriksa balas Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah apabila panel hakim sama menolak permohonan itu.

Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Kamardin Hashim, bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 19 Okt tahun lepas, kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan kerana mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Kerajaan Selangor juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor meminta mahkamah mengetepikan notis berkenaan dan memerintahkan SPR menyiarkan notis baharu tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Selangor kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan enam jenis maklumat bagi prosiding semakan kehakimannya terhadap SPR dan untuk memeriksa balas pengerusi suruhanjaya itu.

Kerajaan negeri Selangor mendakwa SPR bertindak secara melanggar perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.

Kecuali maklumat tentang kod dan nama lokaliti bagi 136, 272 pemilih di Selangor yang diperintah diberi kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac tahun ini, maklumat lain dan permohonan untuk memeriksa balas pengerusi SPR yang dikemukakan kerajaan negeri Selangor, telah ditolak.

Kerajaan Selangor bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan lima mklumat lain.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili SPR, dalam hujah beliau berkata maklumat mengenai alamat pemilih tidak diperlukan selepas pendaftaran kerana apa yang diperlukan ialah lokaliti bagi menentukan tempat pendaftaran pemilih dan lokaliti tidak akan berubah, melainkan pemilih memohon untuk menukarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh pula berkata maklumat mengenai rang daftar pemilih tidak lagi wujud dari segi undang-undang kerana ia sudah dimasukkan ke dalam rang daftar pemilih semasa.

Kata beliau perbuatan mempersoal kesahihan rang daftar pemilih adalah tidak dibenarkan mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Peguam S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor, dalam hujahnya berkata maklumat itu diperlukan bagi mengesahkan pendaftaran 136, 372 pemilih berkenaan.

“Kami bukan mencabar rang daftar pemilih. Kami terima, ia mengandungi lokaliti. Kami tidak memintanya diketepikan atau perubahan dibuat terhadap rang daftar pemilih. Tetapi, urusan persempadanan semula tidak boleh dibuat hanya berdasarkan lokaliti, tanpa alamat.

“Kami hadir di mahkamah. Kami bimbang mungkin sesetengah daripada mereka, tidak wujud,” kata beliau.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan peguamnya tentang tindakan seterusnya yang akan diambil.– BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s