Nothing To Hide 2.0 Tun M : Balingan Suar, Kasut , Botol…

SHAH ALAM – Program Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berlangsung di Dewan Raja Musa, Seksyen 7 di sini bertukar kecoh apabila dicemari insiden balingan suar, kerusi, kasut dan botol air daripada beberapa individu yang hadir.

Insiden kira-kira 5.10 petang itu bermula apabila seorang penonton lelaki bertanya kepada Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.

Ketika di soal mengapa tragedi Memali tersebut diisytiharkan darurat dan pihak yang terlibat dibunuh, Dr Mahathir menjelaskan itu adalah prosedur operasi standard polis ekoran empat anggota polis turut terbunuh dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, sebelum soalan tersebut selesai dijawab oleh Dr Mahathir, kelihatan individu tertentu membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum menyalakan suar dan membalingnya ke arah Dr Mahathir yang ketika itu berada di tengah pentas.

Insiden tersebut hampir mengenai Dr Mahathir serta beberapa wartawan dan jurugambar yang berada di kawasan pentas berkenaan.

Keadaan itu telah menimbulkan rasa panik sehingga penonton yang berada di dalam dewan terpaksa berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri.

Beberapa individu lain dipercayai cedera ringan akibat jatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri ketika kekecohan berlaku.

Terdahulu, program Nothing To Hide itu yang bermula kira-kira pukul 4 itu menjemput Dr Mahathir untuk memberi ceramah.

Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ditemui pemberita kemudian percaya wujud elemen sabotaj oleh pihak tertentu terhadap program itu.

Beliau berkata pihaknya akan menyerahkan kes tersebut kepada polis bagi melakukan siasatan dan berharap pihak yang bertanggungjawab akan segera dibawa ke muka pengadilan.

“Sekiranya ada ahli kita yang bersubahat dan bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab itu kita juga minta polis ambil tindakan ke atas mereka,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga telah melakukan persiapan rapi sebelum menjalankan program tersebut termasuk memaklumkannya kepada polis.

Sementara itu, polis mengesahkan tiga remaja lelaki berusia 17 hingga 19 ditahan berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kesemua suspek ditahan orang awam yang berada di program berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

“Remaja yang berumur 18 dan 19 merupakan pelajar sebuah kolej swasta di sini manakala seorang lagi yang berumur 17 tidak bersekolah, ” katanya.

Shafien berkata pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu termasuk memanggil penganjur program berkenaan.

“Semalam pihak polis ada memanggil pihak penganjur untuk memberitahu syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk mereka menjalankan program berkenaan antaranya keselamatan mereka yang hadir perlu dijamin dan jelas dengan kejadian ini pihak penganjur tidak mengikut syarat yang ditetapkan, ” katanya.

Beliau berkata sehingga petang tadi, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan daripada penganjur. – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s