IRF & G25 Pejuang Kebebasan Umat Islam Murtad ? – Dr Kamarul

Sekitar dua minggu lagi akan berlangsung satu Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Apakah Kebebasan Berfikir Membuka Pintu Kepada Kemurtadan?” “Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy?”.

Perbincangan Meja Bulat anjuran bersama Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25 ini akan dilangsungkan dari pukul 200 petang ke pukul 530 petang, 24 September 2017, di Heritage Room, Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur.

Perbincangan Meja Bulat yang akan dipengerusikan oleh Ehsan Shahwahid dari IRF ini menyaksikan ucapan alu-aluan selama 10 minit oleh wakil G25, Dato’ Redzuan Kushairi, pembentangan selama 45 minit oleh wartawan dan pengarang Turki, Mustafa Akyol, serta pencelahan selama 15 minit seorang oleh Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, dan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Membaca tulisan-tulisan para pendokong IRF dan G25 selama ini yang begitu kuat menyokong kebebasan untuk umat Islam keluar dari agama Islam, tidak sukar untuk diagak ke arah manakah hala tuju sebenar Perbincangan Meja Bulat ini hendak dibawa.

Apatah lagi apabila pembentang kertas kerja utamanya ialah Mustafa Akyol, penulis buku “Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty”, yang tahun lalu telah diterjemahkan oleh IRF di bawah tajuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.

Saya telah berpeluang menghadam buku Mustafa Akyol yang diterjemahkan oleh IRF ini, dan yang kulit belakangnya memuatkan kata-kata pujian Dr Maszlee Malik ke atasnya, sebaik sahaja ia diterbitkan tahun lalu, cuma belum berpeluang untuk mengulasnya.

Di antara lainnya buku Mustafa Akyol ini menyebut mengenai tafsiran semula al-Qur’an:

(1) Betapa hampir tiada satu pun peraturan yang sangat terperinci dan larangan tentang kehidupan harian yang telah beliau lihat sebelumnya di dalam beberapa “buku-buku Islami” dari sudut pandang ultrakonservatif yang terkandung di dalam al-Qur’an.

(2) Betapa, pada waktu tertentu dalam sejarah Islam, beberapa tafsiran tertentu di dalam al-Qur’an dipilih berbanding tafsiran yang lain tidak semestinya kerana lebih benar, tetapi kerana dari segi politik atau budaya lebih mudah (untuk berbuat begitu).

(3) Betapa, berita baiknya adalah bahawa bukan hanya al-Qur’an mampu untuk diinterpretasikan dengan tafsiran lebih baru, yang lebih segar, malahan terdapat juga tanda-tanda bahawa tafsiran baru tersebut semakin berkembang maju.

Di antara pandangan utama yang terkandung di dalam buku Mustafa Akyol ini adalah:

(1) Keperluan untuk umat Islam menerima negara sekular yang beliau sifatkan sebagai sistem politik terbaik, yang tidak terlalu jauh rupanya seperti Madinah, sebuah negara-bandar yang diasaskan oleh Nabi Muhammad, yang akan membolehkan umat Islam mengikuti ajaran Islam dengan cara yang mereka benar-benar percaya.

(2) Bahawa umat Islam mempunyai “kebebasan untuk melakukan dosa” serta perlu diberi sarana (means) untuk melakukan dosa kerana al-Qur’an hanya menghukum jenayah yang melibatkan pelanggaran hak-hak manusia sahaja, iaitu pencurian, rompakan, tuduhan yang melulu kepada penzina dan zina (zina adalah pelanggaran hak manusia kerana, mengikut beliau, pembacaan semula teks al-Qur’an menunjukkan bahawa istilah “zina” sebenarnya hanya melibatkan pasangan yang sudah berkahwin).

(3) Bahawa umat Islam mempunyai “kebebasan (untuk keluar) daripada Islam” kerana, mengikut beliau, al-Qur’an tidak menyebut tentang hukuman murtad, terdapat ayat-ayat al-Qur’an yang tampak mencadangkan bahawa menolak Islam adalah suatu pilihan yang bebas, hadith-hadith yang memerintahkan pembunuhan orang yang murtad adalah riwayat “tidak sah” untuk membenarkan kezaliman daripada autoriti politik, terdapat hadith-hadith lain yang mencadangkan bahawa Nabi Muhammad sebenarnya tidak menganggap murtad sebagai satu jenayah, dan berkeras mengekalkan tanggapan zaman pertengahan mengenai murtad adalah sia-sia dan merosakkan.

Dengan latar belakang Mustafa Akyol yang memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam keluar daripada Islam, selain memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam melakukan dosa, keperluan untuk umat Islam menerima negara sekular serta keperluan untuk umat Islam membuat dan menerima tafsiran semula al-Qur’an, maka tidaklah sukar bagi kita untuk memahami matlamat sebenar IRF dan G25 menganjurkan Perbincangan Meja Bulat ini.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

2 thoughts on “IRF & G25 Pejuang Kebebasan Umat Islam Murtad ? – Dr Kamarul

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s